Jepun bikin Malaysia kempunan

Jepun bikin Malaysia kempunan

PETALING JAYA: Impian Malaysia Tigress untuk menamatkan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di kedudukan podium tidak kesampaian selepas tewas 4-1 kepada Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Hoki Rajgir, India, sebentar tadi.

Jurulatih skuad hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim mengakui kealpaan pemainnya telah menyebabkan lawan mengambil kesempatan dengan mendapatkan tiga gol awal.

“Pemain tidak bermula dengan baik dan telah menyebabkan pasukan dihukum dengan jaringan awal namun begitu pada suku ketiga dan keempat pemain mula bermain dengan baik setelah struktur dan posisi ditukarkan malah kami dapat menjaringkan gol,” katanya.

Dalam aksi tersebut, Jepun mendahului permainan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti Mayuri Horikawa sebelum Hiroka Murayama mengukuhkan kedudukan hasil gol padang pada minit ke-24.

Empat minit kemudian Ayana Tamura menjaringkan gol padang sebelum Miyu Hasegawa meledak gol keempat Jepun menerusi pukulan sudut penalti. Gol sagu hati Malaysia dijaringkan Azmyra Mia Sofea Azhairy pada minit ke-48.

Mengulas lanjut mengenai persembahan pasukan negara sepanjang kejohanan tersebut, Nasihin percaya Malaysia Tigress mempunyai masa depan yang cerah memandangkan mereka dibarisi ramai pemain muda pada edisi kali ini.

“Secara keseluruhannya ACT kali ini kami bermain pertama kali diwakili ramai pemain bawah 21 (B-21) jadi saya rasa ada banyak peningkatan yang boleh dilihat terutamanya daripada persembahan hoki dan keyakinan diri.

“Namun begitu, saya rasa sekiranya nak lihat lagi jauh kita perlu berusaha keras daripada pelbagai sudut. Saya percaya banyak perkara boleh ditingkatkan daripada segi kekuatan, kecergasan dan taktikal.

“Kami jurulatih hoki Malaysia berjanji untuk mencari resepi terbaik dengan menjadikan ACT sebagai batu loncatan untuk bergerak lebih maju buat pasukan hoki wanita negara,” katanya. – UTUSAN.

Scroll to Top