najiy.jefri@hmetro.com.my
Kajang: Isteri kepada Allahyarham komposer legenda, Datuk S Atan iaitu Datin Norizan Yeob, 60, reda dan bersyukur apabila dapat menunaikan segala permintaan suaminya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.53 petang, hari ini.
S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, 75, meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Norizan ketika ditemui berkata, dia juga berpeluang berbakti kepada Allahyarham suami dengan memandikannya buat kali terakhir sebelum meninggal dunia.
“Saya penuhi segala permintaan arwah apabila dia enggan makan ubat baru, termasuk tidak mahu dirawat di hospital selepas keadaan kesihatannya merosot beberapa hari lalu.
“Selain itu, selepas azan Subuh pagi tadi, dia memberi isyarat lima jari iaitu jumlah nilai wang yang ingin disedekahkan. Saya ingatkan dia nak sedekah RM5 tapi RM50.
“Dalam keadaan yang tidak bermaya dan menggigil, dia gagahkan juga masukkan duit itu ke dalam kotak khas yang diperuntukkan.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya turut berpeluang buat kali pertama mandikan arwah dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Selalunya arwah menolak kalau saya nak mandikannya, dan memilih untuk bersihkan diri sendiri. Tapi hari ini saya dapat lakukan buat kali terakhir untuknya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru, di sini, hari ini.
Dalam nada sebak, Norizan berkongsi Allahyarham suaminya seolah-olah akan ‘pergi’ apabila berkali-kali mengingatkannya mengenai perpisahan.
“Dia macam sudah dapat tahu dia akan pergi, tapi dia tak berterus terang dengan saya. Jumaat minggu lalu, sebelum kami tidur dia cakap ada benda yang kita tak boleh elak di antaranya perpisahan.
“Dia cakap kepada saya yang kami akan berpisah. Saya akur dan mengiyakan kata-katanya. Pesanan itulah yang selalu diungkapkan,” katanya.
Berkongsi detik terakhir bersama Allahyarham, Norizan berkata, suaminya pergi dalam keadaan tenang di samping dia dan anak-anak.
“Petang tadi sebelum arwah meninggal dunia, kami anak-beranak sempat berada di sisinya dan genggam tangannya serta tak henti-henti ajar dia mengucap.
“Mudah-mudahan dia dapat ikut dan saya nampak pernafasannya semakin perlahan dan pergi dengan tenang,” katanya.
Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang pada jam 8 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, jam 11 pagi esok.
Hasil perkongsian hidup, Allahyarham dan Norizan dikurniakan enam anak dan 10 cucu.
Arwah juga memiliki empat anak hasil perkahwinan terdahulu.
Tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd