Saya wajah awam saja – Iqie

Saya wajah awam saja – Iqie

“KACAK juga penyanyi Malaysia.”

Demi­kian antara komen yang mula membanjiri ruangan komen baik video YouTube juga TikTok peminat dari Indonesia selepas lagu Belum Mulai duet Insomniacks bersama Nabila Taqiyyah menjadi tular.

Tidak lama selepas itu salah seorang ahli band pop itu, Iqie atau nama sebenarnya Syed Mir Iqbal disenaraikan sebagai penyanyi ‘pengarang jantung’ untuk generasi Milenial selepas Yusry KRU dan Sam dari kumpulan Bunkface.

Kehadiran Iqie terus memberi impak apabila beberapa bulan lalu, pakaiannya menyarungkan ‘crop top’ ketika membuat persembahan turut menjadi tular dan diperkatakan dalam kalangan peminat wanita.

Iqie bagaimana hanya tersenyum, tidak menyangka namanya disenaraikan dalam kelompok penyanyi lelaki kacak masa kini oleh warganet.

“Saya hanya orang awam, wajah dan hobi saya juga begitu awam.

“Alhamdulillah orang berminat dengan rupa saya. Berkenaan pakaian menjadi bualan dan dirakam semasa persembahan, saya tidak rasa terganggu.

“Dari dahulu saya sudah biasa (diperlakukan) begitu, cuma sekarang lebih mainstream,” katanya berseloroh kepada Utusan Malaysia.

Bukan itu sahaja, vokalis itu mengakui sering menerima mesej daripada peminat wanita di Instagram namun tidak berminat untuk membalas satu per satu.

“Saya memilih untuk tidak balas mesej atau baca sahaja dari luar sahaja.

“Saya bukan jual mahal cuma lebih suka jika jumpa dan borak secara berdepan.

“Setakat ini semua peminat wanita Insomniacks sangat menghormati kami. Tiada yang melampaui batas sebagai peminat,” katanya.


Iqie ditemui Utusan Malaysia di sidang media Konsert One Love Music 2024 di baru-baru ini.

Insomniacks terus laris
Insomniacks yang turut dianggotai Iskandar selaku pemain bass dan Danial sebagai pemain gitar bersyukur band mereka terus laris mengisi barisan penyanyi di festival tahun ini.

Terkini, Insomniacks antara artis yang bakal membuat persembahan di Konsert One Love Music 2024 yang bakal diadakan di Maeps, Serdang, Selangor pada 21 Disember depan.

Jika ada kumpulan yang ‘menapis’ setiap tawaran demi menjaga nilai eksklusif, Insomniacks bagaimanapun memilih untuk memenuhi setiap undangan yang ditawarkan.

“Keberadaan kami dalam senarai artis di festival atas permintaan juga. Kami tidak juga berada dalam semua festival, ada juga yang kami terpaksa tolak kerana bertindih dengan hal lain.

“Kami fikir tidak terlalu jaga jenama eksklusif pun tidak mengapa. Kami semua seronok berjumpa peminat,” kata Iskandar.

Enggan cepat selesa, Insomniacks berhasrat melebarkan sayap dengan membuat persembahan di festival luar negara.

“Setakat ini kami pernah menerima undangan persembahan festival di India bagi mewakili Malaysia. Namun kami terpaksa tolak sebab tarikh itu kami tidak berkelapangan.

“Kami berharap akan ada lebih banyak undangan selepas ini,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan terkini, Insomniacks sedang dalam persiapan untuk menghasilkan lagu Inggeris terbaharu mereka bersama Killa Driz yang dijangka menemui peminat tahun hadapan.

Scroll to Top