MCMC akan pastikan DNB, U Mobile bersaing secara sihat

MCMC akan pastikan DNB, U Mobile bersaing secara sihat

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhak untuk mengenakan syarat kepada pengendali rangkaian 5G kedua negara, U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, ini bagi memastikan syarikat pengendali itu tidak mengamalkan dominasi kepada rangkaian 5G kedua negara.

“MCMC mengenakan syarat sejumlah spektrum perlu dikembalikan dan sekiranya U Mobile ingin bekerjasama dengan mana-mana syarikat telekomunikasi lain untuk membangunkan rangkaian 5G kedua maka MCMC perlu mengenakan syarat-syarat supaya tidak berlaku satu ketidakseimbangan.

“Kita ingin pastikan DNB dan rangkaian kedua akan dapat saling melengkapi di samping bersaing dengan sihat,” katanya dalam sidang media selapas merasmikan majlis sambutan Hari Kurier Negara 2024 kali pertama, hari ini.

Semalam, Fahmi berkata U Mobile akan dikenakan syarat tertentu oleh MCMC bagi pembangunan rangkaian itu.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/11/09/rangkaian-5g-kedua-tidak-guna-dana-awam-u-mobile-tanggung-kos-sepenuhnya/

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata syarat-syarat terbabit akan ditetapkan mengambil kira pengalaman pengendali rangkaian pertama 5G iaitu Digital Nasional Berhad (DNB).

Juga semalam, Fahmi berkata tiada keperluan untuk menyemak semula keputusan pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara, kerana ia dibuat selepas MCMC mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk rancangan perniagaan serta teknikal untuk membangunkan rangkaian berkenaan.

Sebelum ini, MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan U Mobile dipillih sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara, selepas pihaknya melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial dalam pemilihan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

MCMC berkata, proses terperinci itu dilaksanakan demi memastikan potensi sebenar teknologi 5G memberi manfaat kepada rakyat, industri dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Scroll to Top