6,000 biji pil kuda untuk diedarkan kepada penagih di Kelantan – Polis Thailand

6,000 biji pil kuda untuk diedarkan kepada penagih di Kelantan – Polis Thailand

am@hmetro.com.my

Sungai Golok: Polis tidak menolak kemungkinan 6,000 biji pil kuda yang dirampas daripada enam rakyat Malaysia dalam satu serbuan di sebuah hotel di sini, pada 1 November lalu, untuk diedarkan kepada penagih dadah di Kelantan.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, ia berdasarkan siasatan yang dijalankan terhadap enam individu termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan

“Polis dari Balai Polis Sungai Golok melakukan serbuan di sebuah bilik di hotel pada hari kejadian berdasarkan maklumat mengenai aktiviti dadah yang dijalankan di lokasi berkenaan.

“Dalam serbuan yang dijalankan awal pagi 1 November itu, pasukan polis menemui pil yang diletakkan dalam tandas di bilik hotel sebelum menahan enam individu termasuk tiga wanita.

“Berdasarkan kuantiti pil kuda itu, kami percaya dadah itu bukan untuk kegunaan peribadi sebaliknya ia untuk dijual kepada penagih dadah,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, polis sudah menghantar sampel air kencing suspek, dadah dan cetakan jari asid deoksiribonukleik (DNA) untuk dianalisis.

“Sampel air kencing dihantar ke Hospital Sungai Golok dan keputusan menunjukkan kesemuanya positif dadah.

“Sementara dadah dan cap jari dihantar ke makmal di Narathiwat. Hasilnya dijangka diperoleh dalam tempoh sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut, siasatan terhadap enam suspek masih dijalankan dan kesemua mereka dihantar ke penjara di Narathiwat selepas mahkamah membenarkan polis untuk perintah tahanan lanjut sehingga 84 hari dari tarikh mereka ditangkap.

Sementara itu ditanya sama ada polis Thailand sudah memanggil saksi untuk membantu siasatannya, beliau berkata, bukti yang dikumpul polis sudah mencukupi.

“Tidak perlu kami mencari saksi kerana ia bukan bukti kukuh. Cukup bagi kami apabila kami menemui pil di dalam bilik dengan enam orang di dalamnya, dan kemudian semuanya diuji positif dengan pil yaba.

“Polis tidak memilih individu ketika melakukan serbuan seperti yang didakwa pihak tertentu kerana kita tidak tahu sama ada mereka orang biasa atau selebriti.

“Kami hanya menjalankan tugas membanteras kegiatan dadah seperti pihak berkuasa lain di negara lain,” tambahnya.

Ditanya mengenai dua rakyat Malaysia yang melarikan diri semasa serbuan, beliau berkata, siasatan polis tidak menunjukkan kehadiran mereka.

“Kami hanya menemui tiga lelaki dan tiga wanita, semuanya rakyat Malaysia di dalam bilik itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam rakyat Malaysia masing-masing tiga lelaki dan tiga perempuan ditahan di sebuah hotel di sini.

Dalam serbuan pada 6 pagi itu, polis turut merampas 6,000 biji pil kuda dan hasil ujian air kencing terhadap kesemua mereka adalah positif dadah.

Kesemua suspek kini ditahan lanjut selama 84 hari di Penjara Narawathiwat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top