Pengenalan bermula sebagai peminat sebelum menjadi suami-Ina Naim

Pengenalan bermula sebagai peminat sebelum menjadi suami-Ina Naim

KOTA TINGGI – Penyanyi, Ina Naim tidak menyangka hubungan dengan suami baharu yang dinikahi hari ini bermula sebagai peminat sebelum berakhir di jenjang pelamin.

Menurut beliau, suami baharu, Mohd Khairul Rizal Shukor, 41, adalah peminatnya dan arwah suami terdahulu, Suhaimi Saad yang merupakan bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team.

Ina Naim atau nama sebenarnya Nordiana Md Naim,40, menambah, hatinya terbuka menerima Mohd Khairul kerana sikap penyabar dan penyayang yang mampu menambat hati anak-anaknya.

“Suami merupakan peminat kami (Ina dan Suhaimi). Permulaan saya hendak menerima dia agak lama juga. Saya solat istikharah dan mungkin dia (suami) daripada pilihan hati saya, saya terima seadanya.

“Keikhlasan yang ditunjukkan membuka pintu hati saya. Pada peringkat permulaan anak-anak tidak boleh terima, mereka tak nak lagi ada ganti ayah mereka.

“Saya terangkan yang mereka perlu belajar, perlu ada ketua (keluarga). Alhamdulillah sebulan hingga dua bulan juga mereka hendak terima,” katanya.

Terdahulu Ina Naim sah bergelar isteri kepada Mohd Khairul hanya dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan tertutup di kampung halamannya di Felcra Sungai Ara di sini pukul 9.50 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Naib Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohamad Ramadhan Mahroji yang mewakil wali bapa Ina, Mohd Naim Samijan.

Ina yang anggun dengan persalinan tona nude itu menerima mas kahwin RM100, kelengkapan solat, seutas gelang tangan dan sebentuk cincin, selain wang hantaran sebanyak RM7,000.

Bercerita lanjut, Ina Naim memberitahu akan terus menetap di Johor Bahru selepas mendirikan rumah tangga kerana mahu fokus dengan perniagaan dan pekerjaan masing-masing.

“Tiada perancangan pun untuk bulan madu, banyak kerja. Saya baru keluar produk baharu, sambal petai, sambal paru dan daging salai, jadi saya nak fokus perniagaan dahulu.

“Suami pula, saya dah minta dia sambung apa yang arwah (Suhaimi) buat iaitu mengajar anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul berkata, dia mengenali Ina Naim melalui media sosial dan mula menghubungi isterinya itu pada Mei lalu.

“Mula-mula saya banyak buat ‘profiling’ mengenai anak-anak mereka. Saya berminat melihat arwah dan Ina buat ‘homeschooling’ pada anak-anak mereka dan saya ada buat kertas kerja macam mana hendak sambung pembelajaran untuk anak-anaknya dan Ina sangat berminat.

“Alhamdulillah, bermula dari itu dan kini kami bergelar suami isteri,” katanya.

Ina bergelar ibu tunggal selepas meninggal dunia pada 15 November 2023.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 16, Sallman Elkhoyri, 14, Phyrosh Elfadwah, 12 dan Nur Layla Elghufrony, 10.

Pada masa sama, Mohd Khairul Rizal yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan dan juga duda, mempunyai dua anak masing-masing perempuan berusia 12 tahun dan lelaki berusia 10 tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Scroll to Top