Galatasaray padamkan rekod tanpa kalah Spurs

Galatasaray padamkan rekod tanpa kalah Spurs

Paris: Victor Osimhen menjaringkan dua gol ketika Galatasaray memberikan kekalahan pertama Tottenham dalam saingan Liga Europa musim ini dengan kemenangan 3-2 di Istanbul awal pagi tadi.

Juara Turki itu kini mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan dan hampir pasti layak ke pusingan play-off kalah mati, manakala Spurs berada di tangga ketujuh selepas rekod tanpa kalah mereka terpadam.

“Kami menjangkakan perlawanan yang sukar. Kami bertemu dengan pasukan yang seperti yang kami jangkakan. Mereka mempunyai pemain yang berbahaya,” kata pengurus Tottenham, Ange Postecoglou.

“Kami kalah kerana kami tidak mempamerkan apa yang kami mahu pada separuh masa pertama. Kedua-dua pasukan bermain dengan baik di Eropah.”

Galatasaray mendahului awal perlawanan apabila Yunus Akgun menyempurnakan satu rembatan voli jarak jauh yang menakjubkan ke penjuru atas pada minit keenam.

Tetapi pasukan pelawat mendapatkan gol penyamaan 12 minit kemudian apabila penyerang remaja, Will Lankshear, yang membuat penampilan kedua bersama pasukan utama, menjaringkan gol dengan menolak masuk hantaran Brennan Johnson dari luar kotak penalti.

Bagaimanapun, Galatasaray mengawal perlawanan sebelum separuh masa tamat, apabila Osimhen menjaringkan dua gol dalam tempoh lapan minit.

Bintang Nigeria itu meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-30, sebelum dengan bijak melakukan rembatan hasil hantaran Dries Mertens untuk melepasi penjaga gol Tottenham, Fraser Forster.

Osimhen kini menjaringkan enam gol dalam lapan penampilan untuk Galatasaray sejak menyertai secara pinjaman dari Napoli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top