Dublin: Ireland akan bertemu New Zealand di Lansdowne Road dalam perlawanan ulangan suku akhir penuh epik Piala Dunia Ragbi tahun lalu, yang menamatkan impian Ireland merangkul trofi itu.
Pasukan nombor satu dunia itu bangkit daripada kekalahan 28-24 dengan mempertahankan gelaran Six Nations mereka dan mencatat keputusan seri dalam siri dua ujian di Afrika Selatan.
All Blacks pula menamatkan tempat kedua dalam Kejuaraan Ragbi dan akan memasuki perlawanan ini dengan kemenangan ke atas England pada Sabtu lalu.
Walaupun sokongan dan beberapa pemain mungkin mempunyai perasaan dendam, jurulatih Ireland, Andy Farrell, tidak mahu pemainnya terpengaruh dengan emosi itu.
Farrell, yang berusia 49 tahun, menegaskan bahawa tiada sebarang unsur ‘balas dendam’ yang mungkin mengaburi fokus pemain.
Daripada 23 pemain Ireland untuk perlawanan ini, 17 orang hadir dalam skuad suku akhir itu, sementara All Blacks mempunyai hanya 10 pemain yang sama.
“Banyak yang sudah berubah. Ia adalah kisah lama bagi kami sekarang,” kata Farrell.
Pemain sayap All Blacks, Will Jordan, yang menjaringkan percubaan dalam setiap perlawanan menentang Ireland sejak penampilan sulungnya pada November 2020, juga berpendapat masa sudah berlalu untuk kedua-dua pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd