KUALA LUMPUR: Tulisan toksik bermula dengan hati yang toksik kepada Allah SWT di mana jika hati bersih kepada Allah, maka manusia akan mudah bersangka baik dengan orang lain.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Asmak Husin menutur peringatan sedemikian sebagai nasihat umum kepada semua pihak.
Beliau mengulas pelakon Janna Nick yang meluahkan kekecewaannya di platform TikTok mengenai komen netizen yang dianggap keterlaluan terhadap suaminya, Dini Shatzman.
Ustazah Asmak dalam video berdurasi dua minit itu berkata, jika seseorang mempunyai hati bersih, mereka tidak akan sewenang-wenangnya memberi komen negatif mengenai kehidupan orang lain.
“Bila kita nak tegur orang, nak komen orang, kita akan fokus pada ikhlas dan membina tapi kalau dah terbuka komen pula suami.
“Ada dua perkaralah yang awak kena perhati, satu bila awak komen macam ni awak akan menyakitkan hati orang.
“Orang yang kita sakiti takkan duduk diam paling kurang doa dia tu kalau Allah makbul macam mana dengan awak nanti?” katanya menerusi Facebook miliknya pada Rabu.
Mengulas lanjut, ustazah Asmak berkata, komen-komen yang tidak wajar juga akan memberi aura negatif terhadap individu lain.
“Bila awak buat macam ni awak akan tarik orang lain jugak untuk toksik macam awak dan toksik macam ni toksik yang mengundang kepada dosa.
“Jadi kita takutlah akhirnya jadi dosa jariah, dah la pahala tak banyak mana,” kata pendakwah itu.
Untuk rekod Janna dan suami mendirikan rumahtangga pada 10 Jun tahun lalu. – HARAKAHDAILY 7/11/2024