nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pendakwah bebas Ustaz Haslin Baharim yang popular dengan gelaran Ustaz Bollywood dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan Jumaat lalu akibat diserang angin ahmar.
Menurut rakan baiknya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu pada 30 Oktober lalu menerusi mesej dalam kumpulan sembang WhatsApp.
Katanya, ketika kejadian, Haslin bersama isteri serta beberapa kenalan mereka berada di Indonesia untuk ke Bogor bagi program lawatan di sana.
“Menurut rakan sebaik tiba di sana, Haslin mengalami pening sebelum dibawa menjalani pemeriksaan di hospital di sana. Hasil pemeriksaan awal itu, mereka dimaklumkan dia mengalami gastrik.
“Bagaimanapun, keadaan Haslin semakin membimbangkan apabila percakapannya tidak jelas serta kurang daya ingatan menyebabkan mereka mengesyaki dia diserang angin ahmar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Izhar berkata, rakan dan isterinya membuat keputusan untuk membatalkan lawatan itu dan meminta anaknya bagi menjemput Haslim di lapangan terbang Jakarta pada 31 Oktober lalu.
“Sebaik tiba di Malaysia, Haslin dibawa ke sebuah hospital pakar di Lembah Klang dan dia didapati diserang angin ahmar. Haslin kemudian menjalani pembedahan membuang darah beku pada saluran di otak.
“Bagi kos pembedahan itu, kami mendapat sumbangan yang diterima daripada rakan-rakan dan orang ramai berjumlah RM70,000. Berkat doa orang ramai, pembedahan itu berjalan lancar,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Dekan (Jaringan & Alumni) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Haslin sudah menunjukkan beberapa perkembangan positif.
“Ketika ini, beliau masih menerima rawatan di hospital sama dan menunjukkan perkembangan positif termasuk sudah boleh membuka mata dengan baik serta mengira angka satu hingga 10 dengan jelas.
“Beliau juga sudah mula mengenali ahli keluarga dan rakan-rakan rapat selain boleh senyum serta mengerakkan tangan kanan secara minima,” katanya.
Menurutnya, Haslin sedang dalam proses rehabilitasi dengan pemantauan dilakukan oleh doktor pakar dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
“Pihak doktor masih mengawal selia kesihatan beliau dan akan ada rawatan susulan dilakukan memandangkan ia membabitkan otak,” katanya.
– ends
#kw Ustaz Haslim, Ustaz Bollywood, angin ahmar, Kuala Lumpur
Keterangan gambar:
1. PROF Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim ketika melawat pendakwah bebas, Ustaz Haslin Baharim yang popular dengan gelaran Ustaz Bollywood selepas diserang angin ahmar, minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd