Penyanyi, Ippo Hafiz pertahan Fazura dan akui tidak adil sekiranya orang ramai menghentam nyanyian bekas suami kepada aktor, Fattah Amin itu hanya menerusi satu persembahan secara siaran langsung di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Sebagai komposer dan penulis lirik lagu Bertahan Demi Cinta, Ippo berkata berkemungkinan Fazura berdepan dengan beberapa masalah teknikal sebelum menyanyikan lagu tersebut seorang diri tanpa pasangan duet, Fattah Amin.
Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz berkata, netizen tidak boleh menghentam Fazura dan menyifatkan figura itu seolah-olah tidak mampu menyanyi dengan baik.
“Saya pun baru balik dari Jakarta, Indonesia bagi mempromosikan lagu Tenang Diri. Cuma, saya tidak bersama Fazura ketika menyanyikan lagu duet itu secara solo dan ‘live’ ketika memenuhi undangan temubual SEA Today News di Indonesia.
“Saya turut diundang, tetapi tak boleh hadir. Apa yang saya nampak jadual Fazura padat. Jadi, bila diminta menyanyikan lagu secara live, mungkin dia agak terkejut.
“Lagu ini juga sukar dinyanyikan secara solo kerana ia adalah lagu duet,”katanya.
Ippo Hafiz pertahan Fazura
Ippo berkata, sebagai penyanyi, mereka perlu mendengar apa yang dinyanyikan dan tidak boleh mendengar suara sendiri jika berlakunya masalah ‘in ear monitor’.
“Jadi, mungkin ada masalah teknikal, tapi saya tiada di sana dan tak berani nak ulas banyak.
“Orang ramai tak boleh harap kita akan sentiasa dapat menyanyi dengan sempurna,” katanya lagi.
Tambahnya, lagu berkenaan tetap dipromosikan di Indonesia kerana menghormati aturan yang sudah disusun oleh syarikat rakaman Indonesia, Hits Records.
“Bertahan Demi Cinta adalah lagu runut bunyi untuk drama Hero Seorang Cinderella 2. Memang kami sasarkan untuk pasarkan di Indonesia.
“Tapi, kita hanya boleh merancang dan tidak menyangka perceraian ini boleh berlaku.
“Ini semua membabitkan syarikat rakaman Indonesia, jadi kami kena hormati apa yang sudah disusun. Syarikat rakaman juga pun tak jangka semua ini akan berlaku.
“Kita pun tak mahu campurkan soal peribadi dan kerja. Jadi, sepatutnya netizen selidik dulu apa yang berlaku sebelum memberikan komen,”jelas Ippo Hafiz.
Artikel lain: Suara Fazura tak sedap, kena jawab jujur kalau tipu dosa! – Sharnaaz Ahmad
Terdahulu, Fazura teruk dikecam netizen gara-gara nyanyian secara langsung untuk single terbaharunya dikatakan sumbang dan tidak mempunyai ton suara yang merdu.
Sumber: BH Online (Fatin Farhana Ariffin)