Mangsa kebakaran ditemui lima jam selepas operasi pemadaman

Mangsa kebakaran ditemui lima jam selepas operasi pemadaman

am@hmetro.com.my

Tawau: Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah di kawasan penempatan atas air di Batu 4, Jalan Apas di sini, hari ini.

Kebakaran dipercayai bermula pada 6 pagi, namun mayat Salleh Alih, 60, hanya ditemukan pada 2.04 petang iaitu selepas lima jam operasi pemadaman selesai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, sebaik operasi pemadaman ditamatkan pada 8.54 pagi, pihaknya mendapati kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sekali lagi bergegas ke lokasi selepas dimaklum mengenai penemuan individu rentung di dapur rumah pada 1.53 tengah hari.

“Pasukan terpaksa menggunakan bot untuk sampai ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan paling hujung penempatan atas air berkenaan.

“Mayat mangsa ditemui di bawah sisa runtuhan di ruangan yang rapuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top