SPRM ke pejabat FashionValet ambil dokumen

SPRM ke pejabat FashionValet ambil dokumen

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke pejabat FashionValet di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan dokumen dan afidavit berkaitan, petang ini.

Ia disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memberitahu pegawai SPRM mengikut pengasas platform e-dagang itu, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar ke premis terbabit selepas mereka selesai memberi keterangan.

Menurutnya, siasatan masih berjalan dan SPRM akan mengambil beberapa dokumen dan afidavit berkaitan di premis milik pasangan itu untuk melengkapkan siasatan.

“Kita juga akan menyemak dokumen terbabit termasuk aset dimiliki pasangan terbabit di mana siasatan ke atas mereka masih belum selesai.

“Sehingga petang ini seramai sembilan orang sudah dirakam percakapan termasuk pasangan suami isteri itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan Vivy dan Fadzaruddin selesai dirakam percakapan selepas beredar dari Ibu Pejabat SPRM pada 4.23 petang tadi.

Mereka sebelum itu dilihat berada di pejabat agensi itu selepas tiga jam untuk siasatan mengenai kerugian pelaburan dana Khazanah Berhad Nasional (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Semalam, pasangan itu turut dirakam percakapan oleh pegawai SRPM yang berakhir 10.30 malam.

Sebelum ini SPRM dilapor menyerbu premis FashionValet, serentak dengan pejabat Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB, berhubung siasatan kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top