Bekas penghantar barang dipenjara, sebat rogol kekasih bawah umur

Bekas penghantar barang dipenjara, sebat rogol kekasih bawah umur

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penghantar barang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga kekasihnya, dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Nazmi Aiman, 21, didakwa telah merogol seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 12 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah kuarters polis di Cheras, pada pukul 11 pagi, 24 September 2022.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang sama di tangga sebuah apartment pada pukul 12.30 malam, pertengahan bulan Oktober 2022.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan sebatan. 

Hakim Mohd. Kafli Che Ali selepas merekodkan pengakuan bersalah tersebut menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara itu diperintahkan untuk berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shakira Aliana Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh. 

“Sekali pun hubungan mereka berdua adalah pasangan kekasih pada ketika itu, namun ia bukan tiket untuk mengambil kesempatan ke atas mangsa. Bukanlah cinta jika bertopengkan nafsu semata-mata. Tertuduh sepatutnya melindungi mangsa bukan ambil kesempatan ke atas mangsa.

“Kedua ialah faktor kepentingan awam yang harus mengatasi faktor lain termasuk kepentingan peribadi tertuduh. Hukuman bukan sahaja boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan mengulangi kesalahan sama, malah (pengajaran) kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan serupa,“ kata Shakira.

Peguam bela, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon hukuman berbentuk bon bercagar dengan apa-apa syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh pihak mahkamah. 

“Pemenjaraan ke atas tertuduh pada usia 21 tahun, tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat kepadanya. Tertuduh masih muda dan perjalanan hidup yang perlu ditempuh oleh tertuduh, masih lagi jauh. Hukuman penjara akan jadi satu titik hitam terhadap tertuduh yang tidak dapat dipadamkan sampai bila-bila,” kata Khaliq. 

Mengikut fakta kes, pada pukul 9.30 pagi, 24 September 2022, mangsa telah dijemput oleh Mohammad Nazmi dengan menaiki motorsikal untuk ke lokasi kejadian sebelum bertindak merogol kank-kanak itu.

Selepas kejadian, tertuduh telah menghantar mangsa ke sebuah bistro berhampiran lokasi kejadian.

Pada pertengahan bulan Oktober 2022, tertuduh sekali lagi telah mengajak mangsa berjumpa di tangga sebuah apartment sebelum merogolnya.

Mangsa kemudian telah menceritakan kejadian yang berlaku kepada sepupunya yang kemudian menceritakan perkara tersebut kepada ibu saudara mangsa. Mangsa kemudian dibawa oleh ibu saudaranya ke balai polis untuk membuat laporan. –UTUSAN

Scroll to Top