'Boleh call pak cik saya, minta dia ikat jamin' – Tertuduh

'Boleh call pak cik saya, minta dia ikat jamin' – Tertuduh

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Boleh tak telefon pak cik saya, minta dia ikat jamin,” itu permintaan gelandangan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap ugutan jenayah serta memiliki parang, Isnin lalu.

Tertuduh, Nadi Ahamed, 47, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menakutkan secara jenayah dengan ugutan yang boleh menyebabkan kematian terhadap lelaki berusia 46 tahun dengan kata-kata ‘aku potong kau’ di belakang sebuah hotel, Jalan Jenang, di sini, 1.30 tengah hari pada 21 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki senjata berjadual berupa parang berukuran 40 sentimeter (sm) tanpa maksud yang sah dengan kejadian ini berlaku pada tarikh, lokasi dan masa sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan juga sebatan.

Sementara itu, tertuduh merayu mahkamah agar mengenakan ikat jamin rendah terhadapnya.

Mahkamah kemudian menetapkan esok bagi sebutan semula kes mengikut Seksyen 7 (1) (a) di Mahkamah Sesyen kerana ia di luar bidang kuasanya.

Bagi kes mengikut Seksyen 506 pula, mahkamah menetapkan 27 November ini untuk serahan dokumen dan juga lantikan peguam tertuduh.

Pada masa sama, mahkamah tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan dia tidak mempunyai alamat tetap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top