RM4.95 bilion manfaat sektor air dan tenaga

RM4.95 bilion manfaat sektor air dan tenaga

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyambut baik peruntukan RM4.95 bilion diterimanya bagi manfaat kepada sektor air dan tenaga semasa pengumuman Belanjawan 20205 yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan itu meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.59 bilion.

“PETRA akan menggunakan peruntukan yang diberikan Perdana Menteri untuk menjalankan pelbagai projek yang dirancang sebelum ini untuk kebaikan negara dan rakyat.

“Perubahan iklim yang kerap berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia membuatkan kerajaan perlu bertindak segera melakukan pelbagai tindakan bagi mengatasi masalah yang akan berlaku akibat fenomena alam itu,” katanya baru-baru ini.

Menurut Fadillah, antara projek yang dirancang adalah 12 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara dengan kos bernilai RM3 bilion.

Antara projek RTB sedang dilaksanakan ketika ini adalah RTB Sungai Damansara (Selangor), RTB Sungai Likas (Sabah), RTB Sungai Triang (Pahang), RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih (Terengganu) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2.

“Antara pengumuman yang lain berkait PETRA yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 seperti kemudahan lebih RM300 juta disediakan di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga bagi menggalakkan pelaksanaan inisiatif dan projek berkaitan peralihan tenaga.

“Program Net Energy Metering (NEM) dilanjutkan kepada 30 Jun 2025 agar lebih banyak bumbung premis dimanfaatkan untuk pemasangan solar photovoltaic (PV). Beberapa projek National Energy Transition Roadmap (NETR) juga memasuki fasa pelaksanaan seperti ladang solar terapung hidro hybrid Kenyir dan hab hidrogen hijau Terengganu dan program Large Scale Solar (LSS),” katanya.

Antara pengumuman lain yang dibuat Perdana Menteri untuk PETRA seperti pelaksanaan Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) diteruskan dengan pembiayaan sebanyak RM1 bilion sehingga tahun 2026 dan pelaksanaan Kontrak Prestasi Tenaga untuk semua agensi kerajaan sebagai salah satu inisiatif kecekapan tenaga di sektor awam.

Kata Fadillah, peruntukan RM70 juta turut disediakan bagi menggalakkan pembelian kelengkapan elektrik cekap tenaga dalan bentuk e-rebat bagi pengguna domestik dan sektor industri.

“Belanjawan 2025 jelas memperlihat tekad Kerajaan Persekutuan dalam mengutamakan rakyat dan mengangkat martabat rakyat, membetulkan ketidakcekapan masa lalu dan membina asas kukuh dan mampan untuk pertumbuhan masa depan negara.

“Ini termasuk memperkasakan pelaksanaan agenda serta dasar peralihan tenaga dan transformasi air demi manfaat rakyat secara holistik dan bersepadu,” katanya.

Menyentuh mengenai penjenamaan semula PETRA, kementerian tersebut sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) sebelum menukar namanya kepada PETRA bagi meneruskan aspirasi kerajaan serta memperkukuhkan sistem penyampaian kepada rakyat mengenai perkhidmatan air dan elektrik di negara ini.

Fadillah berkata, PETRA akan terus berusaha meningkatkan kualiti serta memperkukuhkan pengurusan dan kawal selia dua kemudahan asas berkenaan.

“Penjenamaan PETRA ini diharap dapat mendendahkan masyarakat kepada perkara berkaitan sektor bekalan elektrik seperti tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.

“Selain itu, kita juga mahu mengalakkan masyarakat menyertai pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan termasuk program penjimatan tenaga dan kitar semula air,” katanya.

Selain rakyat menurut Fadillah, kementeriannya turut mahu menarik sebanyak mungkin syarikat di dalam sektor tenaga boleh baharu melakukan lebih banyak inovasi dan pelaburan dalam teknolgi baharu yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat seperti penggunaan sistem solar fotovoltaik (PV) dan teknologi pengurusan air yang lebih baik.

Tambahnya lagi, PETRA turut mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan dalam kerajaan serta sektor swasta daripada dalam dan luar negara untuk terus memperkasakan dasar peralihan tenaga dan transformasi sumber air.

“Antara inisiatif utama bagi mengalakkan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh baharu seperti program NEM dan Skim Insentif Solar untuk Rakyat (SolaRIS).

“Dengan pemberian inisiatif ini diharap dapat meningkatkan penggunaan tenaga solar dalam usaha Malaysia ke arah mencapai negara karbon sifar bersih menjelang tahun 2050,” katanya.

Terdapat empat elemen di bawah bidang tugas PETRA ketika ini iaitu Daunan Hijau, Grid Kuasa, Grid Air dan Aliran Air.

Menerangkan mengenai empat elemen ini jelas Fadillah, Daunan Hijau adalah usaha yang dibuat kementerian tersebut menghasilkan bekalan elektrik hijau dan mengurangkan jejak karbon.

“Grid Kuasa pula melambangkan peranan PETRA dalam menyediakan bekalan tenaga kepada rakyat.

“Manakala Grid Air dan Aliran Air pula melambangkan peranan kementerian dalam perkhidmatan bekalan air dan pembentungan serta pengurusan sumber air yang berkesan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top