bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan berkait sindiket kartel tender projek kerajaan yang dibongkarkan, kelmarin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata siasatan berhubung kes terbabit masih giat dilakukan ketika ini.
“Saya tidak tolak kemungkinan (lebih banyak tangkapan akan dilakukan).
“Siasatan masih dijalankan. Jika ada (maklumat baharu), kita akan bertindak,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Kelmarin, SPRM berjaya membongkar sindiket kartel yang dipercayai memonopoli ratusan tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion sejak tujuh tahun lalu.
Setakat ini, lapan individu telah ditahan, termasuk seorang pegawai sebuah agensi kerajaan berusia 38 tahun bekerja sebagai juruukur bahan Gred 48.
© New Straits Times Press (M) Bhd