3 kanak-kanak maut, MPV dinaiki terjunam dalam sungai

3 kanak-kanak maut, MPV dinaiki terjunam dalam sungai

am@hmetro.com.my

Lawas: Tiga kanak-kanak maut, seorang parah dan enam lagi terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Sundar di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 1.15 tengah hari dengan kemalangan membabitkan Perodua Alza yang dinaiki 10 orang.

Menurutnya, tiga mangsa, Mohamad Nazran Ag Matasan, 10; Eryna Akifa Imani Zukri, 8; dan Mohd Fayard Mohd Azmi, 5; disahkan meninggal dunia ketika rawatan di Hospital Lawas.

Katanya, seorang mangsa kritikal iaitu Madieenatul Munawarah Mohd Azmi, 9, dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, enam lagi mangsa termasuk pemandu iaitu lelaki berusia 39 tahun berjaya keluar menyelamatkan diri menerusi but kenderaan.

“Tiga kanak-kanak yang meninggal dunia terperangkap dalam kenderaan dan mereka dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke hospital.

“Pasukan bomba tiba, melakukan pemeriksaan lanjut di sekitar kenderaan yang tenggelam dan memastikan semua selamat sebelum operasi tamat pada 2.50 petang,” katanya.

Menurutnya, difahamkan ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas menuju ke Kampung Awat-Awat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top