KL City boleh jadi nombor satu- Fahmi Fadzil

KL City boleh jadi nombor satu- Fahmi Fadzil

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kita kena jadi nombor satu…boleh, boleh dan KL City (Kuala Lumpur City FC) pernah menjuarai (Piala Malaysia 2021)”.

Demikian kata-kata semangat dilaungkan penaung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Fahmi Fadzil pada majlis malam eksklusif bersamanya serta Presiden KLFA dan Ahli Jawatankuasa (Exco) baharu badan induk induk itu.

Ujar Fahmi yang juga Menteri Komunikasi itu, beliau yakin dan percaya barisan kepimpinan KLFA yang baharu dibentuk bagi tempoh 2024-2028 akan memacu pasukan KL City ke tahap lebih baik sekali gus meletakkan kembali skuad The City Boys di kedudukan gemilang.

Katanya, beliau akan sentiasa berada di belakang kepimpinan ini dan mahu pelbagai isu diatasi segera terutamanya masalah pembayaran gaji.

“Niatnya adalah untuk pastikan para pemain mendapat keadilan dan semuanya dapat diselesaikan (tunggakan gaji).

“Syed Yazid (Presiden baharu KLFA) ada menyebut tadi, akan membuat pembayaran pada akhir bulan ini. Apapun, kita akan pastikan pasukan ini akan lebih stabil sehingga hujung musim agar pemain dapat menunjukkan kemajuan.

“Anda (pemain) ada sokongan saya, malah ramai peminat di luar sana juga menyokong anda. Saya yakin dengan barisan baharu, dan kehadiran sektor korperat yang akan menyertai, kita percaya ia akan dapat diselesaikan,” katanya.

Untuk rekod, KL City melakar sensasi pada musim 2021 apabila menamatkan badi 22 tahun menjuarai Piala Malaysia selepas menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi keputusan 2-0.

Setahun selepas itu, pasukan yang pernah dikenali dengan panggilan ‘The Hawks’ itu hampir menggegar Asia apabila muncul naib juara Piala AFC selepas tewas 0-3 di tangan kelab Oman, Al-Seeb dan kemudian, sekali mara ke pentas final Piala FA 2023 namun tumbang di tangan JDT.

Dalam perkembangan sama, Fahmi mahu KLFA memperkasakan program pembangunan akar umbi sebagai fokus utama selain melestarikan bahagian kewangan.

“Kita nak pastikan semua isu yang pasukan hadapi dapat diselesaikan, bukan saja ada Exco yang baik tetapi kita ada sokongan daripada sektor korporet yang akan Bersama dan bergerak secara komprehensif.

“Ia bukan soal KL City sahaja tapi kelab-kelab gabunan juga kita nak pastikan kesemuanya dapat memperhebatkan pembangunan di peringkat akar umbi diwujudkan dalam ekosistem yang sihat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top