Mangsa banjir di Perak naik, di Pahang berkurang

Mangsa banjir di Perak naik, di Pahang berkurang

Kuala Lumpur: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak ditutup menjadikan hanya 11 PPS masih dibuka di negeri itu setakat 8 malam ini, menurut Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

Bagaimanapun, menurut portal berkenaan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 1,441 orang berbanding 1,407 orang petang tadi selepas PPS di Perak Tengah dan Kuala Kangsar mencatatkan penambahan mangsa.

Menurut laman sesawang rasmi Public Info Banjir pula, paras air Sungai Bidor dan Sungai Rui di Hilir Perak serta Sungai Kampar di Kampar setakat waktu sama telah melepasi tahap amaran.

Di PAHANG, jumlah mangsa yang ditempatkan di sembilan PPS mencatatkan penurunan kepada 1,795 orang berbanding 1,803 orang petang tadi.

Laman sesawang tersebut turut memaklumkan paras air Sungai Semantan di Temerloh dan Sungai Triang di Bera melepasi tahap amaran.

Di KEDAH, dua PPS di daerah Kota Setar telah ditutup menjadikan hanya lima PPS masih dibuka di negeri itu manakala jumlah mereka yang dipindahkan berkurang kepada 655 mangsa berbanding 839 mangsa petang tadi.

Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir tidak berubah daripada 12 orang di satu PPS di daerah Jasin sejak 4 petang tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top