Jangkaan banjir air pasang di Terengganu, TNB sedia pelan mitigasi

Jangkaan banjir air pasang di Terengganu, TNB sedia pelan mitigasi

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memantau perkembangan situasi banjir air pasang yang dijangka melanda Terengganu bermula esok hingga 25 Oktober depan.

Menerusi kenyataan TNB memaklumkan, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, sebanyak 41 kampung di lima daerah iaitu Besut, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dijangka terjejas akibat fenomena air pasang itu.

Katanya, dalam penilaian risiko banjir yang dilakukan oleh TNB, beberapa aset seperti pencawang elektrik dan pencawang masuk utama turut berisiko untuk terjejas.

“Namun kerja-kerja mitigasi banjir telah dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan orang ramai dan kestabilan pepasangan kami di kawasan berkenaan.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menghadapi situasi ini selain pengguna juga disarankan untuk berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa daripada pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, TNB berkata, sentiasa memastikan keselamatan orang ramai diutamakan dengan memutuskan sementara bekalan elektrik di kawasan yang ditenggelami air banjir.

Katanya, penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik ia selamat dilakukan.

“TNB akan memantau perkembangan ini dan akan melaporkan status terkini keadaan pepasangan serta bekalan TNB dari masa ke semasa.

“Kami menyarankan pengguna TNB di kawasan banjir untuk mengamalkan panduan keselamatan elektrik berikut demi keselamatan anda dan keluarga,” kata kenyataan itu lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top