Pindaan RUU Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan buka lembaran baharu

Pindaan RUU Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan buka lembaran baharu

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan di Dewan Rakyat, hari ini membuka satu lembaran baharu.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang UiTM, Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, ia bakal membawa pembaharuan terhadap aspek kewarganegaraan yang selama ini dilupakan dan dijadikan isu bagi sesetengah pihak dengan cara tidak wajar.

Katanya, kewarganegaraan adalah isu penting kerana membabitkan identiti negara, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan negara.

“Pindaan ini memberi keseimbangan di antara identiti negara menerusi penegasan Bahasa Melayu serta hak asasi golongan wanita dalam mendapatkan kewarganegaraan untuk anak mereka selaras dengan kesaksamaan gender yang ditekankan dalam Perlembagaan.

“Sokongan pelbagai pihak terdiri daripada parti politik, pihak bukan kerajaan yang tidak berbelah bahagi, terutamanya menerusi sokongan 206 Ahli Parlimen yang bersetuju dengan pindaan Perlembagaan ini menjelaskan hasrat murni Kerajaan Madani dalam memperkasa hak asasi warga, sekali gus mempertahankan identiti negara dan melindungi keluhuran Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Untuk itu, katanya, usaha Kementerian Dalam Negeri dalam memperjuangkan perkara itu wajar dipuji.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kelulusan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 selepas undi belah bahagi.

Johari berkata, seramai 206 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU itu, manakala seorang tidak bersetuju dan 14 lagi tidak hadir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top