Taiping 150 Ride 2024 antara acara utama Tahun Melawat Perak

Taiping 150 Ride 2024 antara acara utama Tahun Melawat Perak

PETALING JAYA: Taiping 150 Ride 2024, merupakan acara berbasikal yang pertama kali diadakan dan salah satu acara utama sempena sambutan Tahun Melawat Perak 2024 serta ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping yang bakal berlangsung pada 8 Disember nanti.

Para peserta akan bermula dan berakhir di Taman Tasik Taiping dengan pelepasan dijadualkan pada pukul 6.45 pagi melalui laluan berbasikal mencabar melintasi kawasan desa indah di Perak termasuk Sepetang, Simpang Empat serta Kamunting.

Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn. Bhd. yang dilantik oleh Pejabat Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh sebagai penganjur bersama, komited untuk menjayakan acara berkenaan.

“Acara ini bukan sahaja bertujuan merapatkan komuniti tetapi juga mempromosikan Taiping sebagai destinasi berbasikal yang menarik. Kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua yang ingin merasai pengalaman unik ini,” kata Kah Woh yang juga Timbalan Menteri Pendidikan.

Taiping 150 Ride 2024 antara acara utama Tahun Melawat Perak

Taiping 150 Ride 2024 menawarkan dua kategori utama iaitu 90 kilometer (km) dan 60km serta kayuhan santai sejauh 20km yang dibuka kepada orang awam.

Dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, pendaftaran bagi pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun untuk semua kategori adalah percuma.

Sokongan itu bertujuan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti sihat dan memberi pendedahan kepada sukan berbasikal yang turut menyumbang kepada pembangunan fizikal serta sosial.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik untuk keluarga turut disediakan bersempena acara tersebut bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati hari yang bermakna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Malaysia Berhad, Kellee Kam berkata, selaku penaja utama acara itu, pihaknya berbangga menyokong inisiatif yang menggalakkan gaya hidup sihat dan berharap menerima penyertaan memberangsangkan.

Dengan sasaran penyertaan seramai 1,500 peserta, slot adalah terhad dan pendaftaran awal amat digalakkan untuk memastikan penyertaan dalam acara yang berprestij ini.- UTUSAN

Scroll to Top