Program Kampung Angkat MADANI Tingkat Taraf Hidup Penduduk

Program Kampung Angkat MADANI Tingkat Taraf Hidup Penduduk

Sejak kerajaan dah mula buat transformasi besar-besaran untuk upgrade kampung-kampung seluruh negara, banyak kampung-kampung yang terpilih sekarang dah maju! Akhirnya dapat juga penduduk luar bandar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa seperti hidup di bandar kan?

Kalau dulu bila sebut kampung jer, mesti anda terbayang jalan berdebu, internet pun susah dapat, lampu jalan pun tak ada, dan banyak lagi lah masalahnya. Sekarang ni dah tak ada semua tu gais, dalam mimpi jer lah, hiks.

Tahukah anda dalam Belanjawan 2024, Kerajaan perkenalkan Kampung Angkat Madani iaitu satu program khas yang memfokuskan untuk naik taraf kampung supaya tak ada yang tertinggal dalam arus kemajuan negara.

Kerajaan mahu pastikan kampung-kampung dapat infrastruktur bertaraf dunia seperti jalan yang baik, bekalan air bersih, elektrik yang stabil dan klinik kesihatan yang mantap.

Terdapat dua jenis penumpuan yang diberikan kepada Kampung Angkat Madani ini iaitu berbentuk fizikal dan juga bukan fizikal.

Projek fizikal membabitkan penambahbaikan jalan kampung, lampu jalan, bekalan air, capaian Internet, membaiki jambatan atau titi dan sebagainya.

Manakala projek bukan fizikal pula adalah seperti bantuan pengesahan di kawasan setempat seperti pendaftaran program bantuan, perkhidmatan saringan kesihatan dan program bimbingan.

Kampung Pituru Laut Antara Bukti Penerima Manfaat Besar!

Pemilihan Kampung Pituru Laut, sebuah perkampungan nelayan di Kota Belud sebagai sebagai lokasi Kampung Angkat MADANI telah mengangkat darjat dan taraf hidup penduduknya.

Sejak dipilih oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), kampung ini telah berubah wajah menjadi lebih segar dan moden. Padu betul gais.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk melaksanakan lima projek di kampung tersebut.

Lima projek yang sedang dijalankan di kampung ini ialah menaik taraf jalan raya dan infrastruktur kampung, pembaikan surau, pembinaan tebatan ombak, pembinaan dewan kampung serta menaik taraf jeti kampung.

Selain melengkapkan kemudahan asas infrastruktur, kerja-kerja penambahbaikan talian telekomunikasi dan Internet juga telah diberi perhatian bagi mengurangkan jurang teknologi antara penduduk desa dan bandar.

Kesemua projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para nelayan di kampung itu, tetapi ia juga bakal memberi keselesaan kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti-aktiviti harian lain seperti menjalankan perniagaan, beribadah dan beriadah.

Sementara itu, Kampung Belukut di Labuan, turut menerima pelbagai limpahan pembangunan setelah dijadikan Kampung Angkat Madani oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Berkeluasan 38,446 hektar, Kampung Belukut telah dikategorikan sebagai kampung serba kekurangan dari aspek kemudahan infrastuktur, dijadikan Kampung Angkat MADANI berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Tahap liputan kemudahan asas di kampung yang mempunyai 600 penduduk itu adalah pada kadar 50 peratus dan memerlukan penyelenggaraan dan naik taraf seiring dengan keperluan penduduk.

Antara kemudahan-kemudahan yang dinaiktaraf ialah jalan kampung, pembinaan balai raya dan gelanggang futsal.

Ada Sinar Di Hujung Terowong!

Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet secara holistik.

Inisiatif Kampung Angkat Madani ini bukan sekadar menaik taraf kampung dari segi fizikal sahaja, malah turut membantu merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Siapa sangka dengan adanya inisiatif sebegini, banyak perkara baik yang boleh dilakukan dan diberikan kepada penduduk dia luar bandar ini.

Dengan infrastruktur yang lebih maju, kemudahan asas yang bagus, pendidikan yang baik serta kesihatan yang terjamin, kampung kini sudah mulai berubah wajah.

Penduduk kampung tidak lagi rasa terbelakang dan boleh menikmati kualiti hidup yang jauh lebih baik dari dulu! Alhamdulilah.

Scroll to Top