Beli wang palsu murahan di TikTok, jual balik hingga RM1,000

Beli wang palsu murahan di TikTok, jual balik hingga RM1,000

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga warga Sierra Leone ditahan dalam serbuan di ibu negara, 2 Oktober lalu kerana cuba menjual 10,000 keping wang kertas dolar Amerika Syarikat (AS) palsu pada harga RM1,000 kepada pembeli di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati suspek membeli wang palsu itu dari China menerusi aplikasi TikTok pada harga RM6.97 bagi 10,000 keping.

“Siasatan setakat ini mendapati ketiga-tiga yang ditahan telah masuk ke Malaysia sebagai pelajar di sebuah kolej swasta di sekitar Selangor.

“Dua daripada mereka masuk ke Malaysia sejak 2022 dan seorang lagi pada tahun ini,” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas empat wang kertas AS$100, dua kertas kosong bersaiz wang kertas AS$100, empat telefon bimbit, satu pasport serta dua kereta, masing-masing jenis Naza Forte dan Proton Iriz.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top