APMM tahan 598 VNA babitkan RM209 juta sejak 2019

APMM tahan 598 VNA babitkan RM209 juta sejak 2019

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 598 Vesel Nelayan Asing (VNA) dengan hasil tangkapan berjumlah RM209 juta menerusi Op Naga yang dilaksanakan sejak Mei 2019 hingga September tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tangkapan tertinggi iaitu 75 peratus membabitkan VNA warga Vietnam seramai 451 orang nelayan dengan kru yang ditahan pula seramai 4,391 orang manakala nilai keseluruhan hasil tangkapan melebihi RM190 juta.

“Angka itu adalah sebahagian daripada jumlah VNA memasuki perairan negara yang berjaya ditahan.

“Ini berikutan terdapat kekangan aset yang dihadapi agensi seperti penyelenggaraan berjadual serta keuzuran aset dimiliki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasukannya sentiasa komited melaksanakan operasi dalam usaha membanteras pencerobohan VNA untuk mengaut hasil laut yang ada di perairan negara.

“Ancaman aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing) perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahupun komuniti maritim setempat.

“Jika tidak dibanteras, aktiviti ini akan menjejaskan habitat ekosistem marin bakal mengancam pembiakan benih ikan yang mana akhirnya akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan,” katanya.

Op Naga adalah operasi bersepadu APMM bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beberapa pihak lain turut terbabit adalah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perikanan Sabah.

Mohd Rosli berharap kerjasama dalam menjayakan operasi itu dapat diperkasakan lagi demi menjaga kedaulatan serta memastikan sumber ekonomi negara sentiasa terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top