Bajet RM1.5 bilion diperlukan KBS untuk atlet, belia – Sadek

Bajet RM1.5 bilion diperlukan KBS untuk atlet, belia – Sadek

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memerlukan dana sekurang-kurangnya RM1.5 bilion untuk persediaan Sukan Komanwel 2026, tuan rumah Sukan Sea 2027, menghantar atlet berpotensi dan bermaruah di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) serta melahirkan belia berkemahiran tinggi.

Pandangan itu disuarakan pemerhati sukan tempatan, Sadek Mustaffa kerana baginya tidak ada pilihan lain lagi untuk sukan prestasi tinggi dan pembangunan belia bagi bergerak seiring demi kepentingan kedua-dua sektor.

“Paling kurang setengah juta hanya untuk sukan prestasi tinggi sahaja, jadi secara keseluruhan bukan RM900 juta perlu diperuntukkan KBS (termasuk belia). Paling kurang RM2 bilion (keseluruhan) termasuk untuk meremajakan negara dan demi kepimpinan masa depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Sadek, untuk pembangunan belia dan sukan RM1.5 bilion adalah bajet paling ‘sengkek’ jika Malaysia mahu menjadi tuan rumah Sukan Sea paling berjaya pada 2027, menghantar atlet bermaruah di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

“Ia untuk digunakan bagi kita menghantar atlet bermaruah dan berbakat di LA2028, sebelum Prorgam Road To Gold (RTG) itu akan matang pada Olimpik Brisbane 2032. Perlu diingatkan sukan tidak boleh serta-merta berjaya, ia tidak akan berlaku.

“Selepas itu bagi belia, KBS perlu memikirkan mengenai sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) walaupun sebelum ini di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Kita masih kurang tenaga kerja dan pakar daripada TVET apabila ada institusi di bawah KBS seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Jangan cerita hanya pasal sukan dan gagal sahaja,” katanya.

Tambahnya, komitmen perlu diberikan untuk menjadi tuan rumah Sukan Sea 2027 dan ini adalah platform buat KBS membuktikan serius terhadap membangunkan atlet mewakili negara dalam persediaan Program Podium.

“Program Podium dan Pelapis sangat penting untuk kecemerlangan 2027 dan Sukan Komanwel 2026 dan selepas itu Sukan Olimpik 2028.

“Bagi program belia pula sekurang-kurangnya RM1 bilion perlu diperuntukkan kepada TVET bagi memberi peluang kepada yang terbuka luas untuk pelajar lepasas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita perlu serap mereka dalam industri aspek kemahiran, mahir elektrik, pembinaan dan automotif. Mereka fokus kepada kemahiran bukan cognatif.

“Belia adalah harapan dan tiang negara. Mereka pengganti kepada kepimpinan sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, KBS melalui menterinya, Hannah Yeoh berharap ada tambahan bajet khususnya bagi Program Podium, atlet para serta RTG pada Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Hannah berkata, tambahan bajet yang diharapkan itu adalah bagi meningkatkan lagi keupayaan KBS membantu atlet negara daripada pelbagai peringkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top