Kompaun RM1,000 individu buang sampah luar tong sampah

Kompaun RM1,000 individu buang sampah luar tong sampah

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Beberapa individu yang didapati membuang sampah di luar tong di satu lokasi dalam daerah Machang bakal berdepan tindakan kompaun RM1,000 setiap orang.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 23 saat sejak kelmarin memaparkan beberapa individu yang bertindak membuang sampah di luar tong sampah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, Majlis Daerah Machang (MDM) mengenal pasti individu terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tong sampah.

“Tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil (UUK) MDM 5(2), Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2019 yang boleh dikompaun sebanyak RM1,000.

“Justeru, MDM menggesa individu terbabit untuk tampil ke pejabat bagi membuat bayaran tawaran kompaun,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, sekiranya gagal, MDM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit dengan kompaun maksimum.

Katanya, dalam usaha menjaga kebersihan dan kesejahteraan, pihak MDM memasang CCTV di beberapa lokasi tapak tong sampah dan taman awam bagi memantau individu yang ingkar dan membuat kekotoran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top