Penduduk terjejas tanah runtuh boleh pulang untuk mandi, ambil barang keperluan saja

Penduduk terjejas tanah runtuh boleh pulang untuk mandi, ambil barang keperluan saja

am@hmetro.com.my

Ampang: “Syukur kami selamat. Ketika tanah runtuh, kami ada di rumah. Sebaik ia berlaku, kami berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” kata Hasnah Said.

Hasnah, 45, berkata, ketika kejadian tanah runtuh di kawasan rumahnya di Jalan E6, taman Melawati, di sini, 15 Oktober lalu, dia berada di rumah bersama seorang anaknya.

“Pada hari kejadian, suami keluar bekerja manakala anak yang lain pergi ke sekolah dan seperti biasa, saya melakukan kerja-kerja rumah.

“Hujan di luar ketika itu sangat lebat. Saya kemudiannya menerima panggilan telefon daripada jiran dikenali sebagai Aisyah yang memaklumkan berlaku tanah runtuh berdekatan dengan rumah,” katanya ditemui di lokasi, hari ini.

Menurut Hasnah, dia bergegas keluar untuk memeriksa keadaan dan mendapati, air mengalir deras dari kawasan tanah runtuh itu.

“Kami kemudiannya menumpang sementara di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebelum dibawa ke PPS,” katanya.

Hasnah berkata, mereka masih belum dibenarkan pulang ke rumah buat masa ini dan hanya boleh pulang sebentar untuk mengambil barang keperluan atau mandi sahaja.

Katanya lagi, dia perlu mendaftar diri setiap kali mahu keluar dan masuk daripada PPS itu sebagai rekod pergerakan keluar masuk.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Hasnah turut menyatakan hasrat supaya penduduk dibenarkan pulang ke rumah pada hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, 23 orang daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS akibat kejadian terbabit.

Pada masa sama, lokasi insiden tanah runtuh di lereng bukit sekitar Jalan E6, Taman Melawati itu, antara 114 lokasi panas tanah runtuh yang dikenal-pasti sebagai zon merah atau berisiko tinggi di sekitar daerah ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top