Adik Ruhainies Tarik Diri Jadi Penjamin Aliff Aziz Berhubung Kes Khalwat

Adik Ruhainies Tarik Diri Jadi Penjamin Aliff Aziz Berhubung Kes Khalwat

Susulan penagguhan kes khalwat membabitkan aktor dan aktres Aliff Aziz dan Ruhainies yang berlangsung pada 20 dan 27 Februari depan, mahkamah juga memaklumkan bahawa Aliff dibenarkan untuk menggantikan penjamin baharu.

Ia selepas penjamin sebelumnya iaitu adik kepada Ruhainies iaitu, Muhammad Nur Aiman Zainul Ilyas menarik diri dan akan ditukarkan kepada Furqan Abdul Rahim.

Manakala kedua-dua mereka diwakili oleh peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani.

Terdahulu, Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz menetapkan tarikh tersebut selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh-tarikh yang diusulkan itu.

Selepas usai prosiding, Alif dan Ruhainies bergegas meninggalkan pekarangan mahakamah, dan tidak mahu ditemu bual oleh kira-kira 30 pengamal media yang hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Pada prosiding 3 Julai lalu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan meminta kes khalwat mereka dibicarakan.

Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah, di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang, pada hari sama.

Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Scroll to Top