Rossa tiada bakat berpolitik

Rossa tiada bakat berpolitik

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa, 46, mengakui cintanya tetap terhadap karier seni dan tiada bakat untuk berpolitik.

Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani berkata, setakat ini cukup baginya sekadar tumpang gembira dan memberi sokongan penuh kepada rakan selebriti di Indonesia yang menjadi ahli politik.

“Sampai saat ini, Insya-Allah saya masih lebih mencintai dunia hiburan ini dan mungkin juga tiada bakat untuk berpolitik meskipun dulu di universiti saya ambil (pengajian) fakultinya memang Sosial Politik.

“Tapi, untuk saat ini saya rasa lebih ingin menghiburkan banyak orang dalam industri muzik dulu,” katanya yang ditemui selepas tayangan Malam Gala Premiere All Access To Rossa 25 Shining Years di Pavillion, di sini, malam tadi.

Ditanya apakah dia memang tidak berminat langsung dalam bidang politik, Rossa berkata, dia belum lagi terbuka hati, namun lebih selesa memberi sokongannya kepada rakan-rakan selebriti Indonesia yang kini ahli politik.

“Untuk saya, belum lagi, belum (ada keinginan jadi ahli politik). Tapi, saya sangat menyokong teman-teman saya yang sekarang Alhamdulillah sudah dapat membaktikan diri untuk negara.

“Apapun, untuk ke depannya saya nanti memang tidak tahulah (akan menceburi politik),” katanya mengenai kemungkinan 10 tahun lagi akan cuba membabitkan diri dalam politik.

Antara selebriti popular Indonesia yang menceburi politik ialah Ahmad Dhani, Pasha Ungu, Once Mekel, Melly Goeslaw, Giring Nidji, Nurul Arifin, Mulan Jameela, Desy Ratnasari, Dina Lorenza, Rano Karno dan ramai lagi.

Mengulas mengenai filem dokumentari dirinya yang akan ditayangkan di Malaysia mulai esok, Rossa berkata, dia berharap ia diterima baik oleh semua penonton di negara ini.

“Saya gembira ramai rakan artis yang rapat dengan saya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza datang memberikan sokongan. Ada juga Nabila Razali, Fattah Amin, Hael Husaini, Aisha Retno dan ramai lagi yang buat saya terharu.

“Terima kasih di atas sokongannya dan semoga semua yang datang ini terhibur. Saya sangat ‘happy’ (gembira) dan amat seronok, terima kasih sekali lagi,” katanya.

Filem dokumentari, All Access to Rossa 25 Shining Years memaparkan suka dan duka Rossa di dalam karier seni nyanyiannya, termasuk dikongsikan juga serba-sedikit kisah perceraian bersama bekas suami, Yoyo yang juga pemain dram kumpulan Padi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top