Detik sukar buat Alcaraz berdepan Nadal

Detik sukar buat Alcaraz berdepan Nadal

Riyadh: Carlos Alcaraz mengakui bahawa ia akan menjadi “detik sukar” berdepan “idola” Rafael Nadal apabila dua bintang Sepanyol itu bertemu untuk kali terakhir.

Nadal, memegang 22 gelaran Grand Slam, minggu lalu mengumumkan bahawa akan bersara dari tenis selepas Piala Davis di Malaga bulan depan.

Namun semalam pemain berusia 38 tahun itu akan berdepan Alcaraz untuk merebut tempat ke final acara pertunjukan “Six Kings Slam” di Riyadh.

“Sejak saya mula bermain tenis, saya selalu menonton perlawanan Nadal.

“Saya mengaguminya dan saya membesar dengan menontonnya. Dia adalah idola saya, dan hingga kini masih lagi idola saya.

“Dia seorang yang sangat penting dalam hidup saya, untuk kerjaya saya dan dia adalah salah satu sebab saya mahu menjadi pemain tenis profesional.

“Mengetahui dia akan bersara agak sukar untuk semua orang termasuk saya,” kata Alcaraz selepas menewaskan Holger Rune 6-4, 6-2 untuk mengatur pertemuan penuh emosi dengan Nadal.

Alcaraz, juara terbuka Perancis dan Wimbledon menambah: “Saya akan cuba menikmati saat berkongsi gelanggang dengan dia sekali lagi, tetapi saya fikir ini adalah sesuatu yang sangat sukar untuk semua orang.”

Nadal dan Alcaraz sudah bertemu tiga kali dalam Jelajah ATP dengan pemain veteran yang bakal bersara tidak lama lagi itu mendahului rekod pertemuan 2-1.

Mereka turut bergandingan dalam acara beregu bersama di Sukan Olimpik Paris tahun ini dan dijangka akan bergandingan sekali lagi di Pusingan Akhir Piala Davis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top