Pengalaman mengujakan

Pengalaman mengujakan

asmaini@mediaprima.com.my

Mengujakan! Itu antara pengalaman dilalui pengunjung Hari Rekreasi Putrajaya 2024 (HRP2024) baru-baru ini yang melepaskan peluang merasai keseronokan melakukan pelbagai aktiviti air.

Antaranya, aktiviti Standing Up Paddle (SUP Board) yang diadakan di Zon Rekreasi Air, Tasik Putrajaya. Ia memberi pengalaman menyeronokkan buat peminat sukan mendayung berkaitan aspek teknikal ketika mendayung sambil berdiri.

Menurut Azman Shah Hashim, 28, peluang menimba pengalaman baharu menyertai aktiviti mendayung sambil berdiri adalah perkara yang tidak dilepaskan olehnya.

Katanya, meskipun bukanlah peminat tegar sukan mendayung namun dia menggemari aktiviti seperti itu kerana memberi cabaran tersendiri.

“Sebelum dilepaskan, semua peserta turut diberi taklimat berkaitan aspek keselamatan dan keyakinan ketika berada dalam air.

“Memang mengujakan kerana aktiviti itu diadakan di kawasan Tasik Putrajaya yang memiliki panorama yang sungguh indah,” katanya.

Selain program Standing Up Paddle, aktiviti Jom! Apung Diri turut diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk berendam sepuas-puasnya di Tasik Putrajaya.

Ia mendapat sambutan menggalakkan dengan seramai 420 peserta mengambil bahagian

Aktiviti seperti itu bukanlah kegiatan yang dibenar dilakukan di Tasik Putrajaya sebelum ini tanpa kawalan keselamatan ketat.

Ini kerana aktiviti mandi-manda di sekitar tasik itu sememangnya tidak dibenarkan atas faktor keselamatan dan pemeliharaan ekosistem tasik.

Dalam pada itu, pelbagai program menarik lain turut diadakan termasuk aktiviti yang mengembalikan nostalgia zaman silam.

Antaranya taman tema air ‘inflatable,’ aktiviti perang air dan aktiviti sukan kenangan (perah air dalam botol, tangkap anak ikan, lumba lari sambil bawa belon, lambungan belon beracun, pancing botol air serta tong air).

Turut diadakan, aktiviti rekreasi air seperti water trampoline, roller orb, water orb, UFO, sea inflatable slide, dolphin slide, pool slide dan banana seesaw.

Selain itu, acara swimathon turut mendapat penyertaan yang menggalakkan dengan 592 peserta daripada pelbagai negara.

Antaranya Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Jepun, South Africa, Spain, Australia, Mesir, Itali, Kanada, Hong Kong dan Greek.

Orang ramai juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk hasil seni, aneka makanan, minuman, kek, biskut dan pencuci mulut enak yang dijual di Pasar Seloka.

Majlis Perasmian HRP 2024 disempurnakan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, di Anjung Floria, Presint 4.

HRP2024 yang turut menyokong penganjuran Hari Sukan Negara itu adalah inisiatif PPj bagi menjenamakan Putrajaya sebagai sebuah bandar rekreasi.

Ia adalah acara tahunan bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk melakukan aktiviti rekreasi di pusat pentadbiran negara berkenaan.

Penganjuran HRP2024 juga tidak langsung menjadi inspirasi kepada sambutan hari rekreasi di peringkat kebangsaan, dengan menjadikan Putrajaya sebagai penanda aras.

Acara berkenaan turut selari dalam menyokong kelestarian aspek pelancongan, sosio ekonomi dan alam sekitar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top