Perlis harap peruntukan naik taraf infrastruktur pertanian

Perlis harap peruntukan naik taraf infrastruktur pertanian

KANGAR: Kerajaan diharap dapat menyalurkan peruntukan mencukupi buat Perlis khususnya bagi menaik taraf infrastruktur pertanian di negeri ini menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, berdasarkan situasi semasa, peruntukan sekitar RM50 juta diperlukan bagi membantu petani-petani khususnya di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Beliau berkata, berikutan itu, kerajaan negeri mengharapkan isu infrastruktur dalam kawasan pertanian dapat diberi bantuan khusus bagi membantu pengeluaran hasil yang baik.

“Di peringkat negeri, kita sememangnya sentiasa cuba untuk membantu petani-petani supaya mereka sentiasa mendapat kemudahan infrastruktur sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jumaat ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025.

Anwar sebelum ini ada membayangkan bahawa Belanjawan 2025 akan terus menumpukan kepada agenda teras kerangka Ekonomi Madani yang diluncurkannya pada Julai tahun lalu dan sejajar pelaksanaan reformasi percukaian lebih komprehensif sebagai asas kepada sumber hasil negara yang kukuh.

Tambah Razali, kerajaan negeri juga berharap agar seluruh petani di negeri ini dapat bergerak dalam satu komuniti dan bersatu padu.

Katanya, para petani juga perlu sentiasa berdamping dengan agensi pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat.

“Apabila mereka bersama dengan agensi-agensi ini, ia akan memudahkan penyaluran maklumat sekali gus mewujudkan situasi menang-menang,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top