JIM tidak kompromi pegawai dera tahanan, pandang serius siasatan EAIC

JIM tidak kompromi pegawai dera tahanan, pandang serius siasatan EAIC

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius penemuan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bahawa terdapat unsur kekerasan, penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan oleh beberapa pegawai jabatan itu dari 2020 hingga 2021.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM sentiasa mematuhi piawaian antarabangsa termasuk United Nation Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules) dan International Committee of the Red Cross (ICRC) – Healthcare in Detention dalam pengurusan depot imigresen.

Beliau berkata, ini termasuk Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen.

“JIM mempunyai sebanyak 25 depot imigresen, termasuk Baitul Mahabbah yang meliputi 18 depot imigresen sedia ada, dua depot imigresen sementara dan lima Baitul Mahabbah.

“Justeru, JIM tidak akan berkompromi dengan apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pegawai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan siasatan EAIC berhubung insiden 131 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari lalu menemui kekerasan dan penderaan oleh beberapa pegawai JIM.

EAIC memaklumkan, kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya berlaku sejak 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen lain, termasuk DISB.

Beberapa pegawai JIM di DISB, termasuk dua pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi didapati melakukan kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya sehingga menyebabkan kecederaan.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai terbabit kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pihak JIM sedang menunggu laporan penuh daripada EAIC berkaitan hasil siasatan bagi pihaknya mengambil tindakan lanjut.

Katanya, sekiranya didapati terdapat unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top