Amir Masdi hargai kerja keras peminat

Amir Masdi hargai kerja keras peminat

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Peminat sudah buat yang terbaik untuk mengundi setiap jam dan saya sangat hargai kerja keras mereka,” kata penyanyi, Amir Masdi, 28, ketika diminta mengulas ada segelintir peminatnya yang kecewa dirinya gagal membawa pulang trofi Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36, baru-baru ini.

Selain Khai Bahar, nama Amir antara penyanyi yang disebut-sebut bakal mengungguli kategori berkenaan. 

Bagaimanapun, Amir tewas bila kemenangan berpihak kepada Khai yang terus mempertahankan trofi itu selepas memenanginya pada ABPBH ke-35.

Selain Khai, Amir juga bersaing dengan barisan calon Top 5 iaitu Haqiem Rusli, Hael Husaini dan Aliff Aziz.

Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi berkata, berjaya bolos dalam kelompok Top 5, ABPBH ke-36, sudah dianggap kemenangan buat dirinya.

“Mungkin ada peminat yang anggap itu satu kekalahan tapi bagi saya pula masuk dalam kelompok Top 5 sudah pun merangkumi kemenangan.

“Saya sedar ramai peminat yang sudah bekerja keras untuk mengundi setiap jam kerana mereka ada kongsi mengenainya di media sosial,” katanya ketika ditemui pada sidang media kerjasama Suria FM X PDRM FC di Menara Star di sini, hari ini.

Ditanya anugerah lagi, kata Amir, dia berharap peminat akan terus memberi sokongan dan mengundinya pada pencalonan ABPBH yang akan datang.

“Saya harap semua peminat tidak perlu bimbang atau terkilan dengan kekalahan itu kerana mereka sudah buat yang terbaik dan selebihnya kita hanya berserah.

“Insya-Allah, masih ada peluang untuk peminat mengundi lagi pada tahun depan.

  

“Sebagai anak seni, saya akan terus bekerja keras untuk kekal relevan supaya peminat boleh mengundi saya lagi pada masa depan,”katanya.

Mengulas kemenangan Khai pula, kata Amir yang sudah tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni, dia tidak kecewa sebaliknya tumpang gembira dengan kemenangannya itu.

“Saya gembira Khai menang dan tidak persoalkan kemenangannya itu. 

“Pada masa sama, saya juga bangga untuk barisan artis lain yang tersenarai dalam kelompok Top 5 kerana persaingan juga sengit dalam industri muzik tanah air,” katanya. 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top