Foodie Hawker Awards 2024 iktiraf penjaja jalanan

Foodie Hawker Awards 2024 iktiraf penjaja jalanan

KUALA LUMPUR – Good Foodie Media Sdn Bhd dengan kerjasama Maybank dan Payments Network Malaysia (PayNet) buat kali pertama menganjurkan Foodie Hawker Awards 2024 dalam usaha meraikan budaya makanan jalanan di negara ini.

Pengasas dan Ketua Pengawai Eksekutif Good Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, anugerah itu bagi memberi pengiktirafan kepada penjaja tempatan.

“Anugerah ini akan menjadi komitmen jangka panjang untuk memperkasa industri makanan tempatan.

“Kami sudah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan penjaja untuk mempromosikan perniagaan mereka secara dalam talian, dan anugerah ini adalah sesuatu yang ingin kami lakukan untuk industri makanan dan minuman (F&B) di negara kita.

“Malah, ini juga akan menjadi anugerah untuk rakyat Malaysia, dari rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Nicholas Lim Pinn Yang.

Pinn Yang yang juga pempengaruh popular menambah, inisitiaf itu juga bagi mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian kulinari di mana setiap hidangan menceritakan kisah tradisi, budaya dan cinta.

“Hidangan yang ditawarkan mempunyai gabungan harmoni pelbagai rasa daripada semua kaum, menciptakan pengalaman yang lazat untuk semua yang menikmatinya.

“Hidangan popular seperti nasi lemak, roti canai, atau sate, menjadikan negara kita sebagai syurga bagi penggemar makanan,” katanya.

Food Hawker Awards 2024 terbuka kepada semua peniaga makanan dan minuman yang beroperasi sebagai penjaja termasuklah gerai tepi jalan, gerai makanan di pasar, kedai kopi tradisional dan trak makanan di seluruh negara.

Kempen  berlangsung dari 1 Julai lalu hingga 31 Disember depan dan pemenang akan diraikan  dalam satu majlis anugerah pada Januari depan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top