UNIFIL kekal di semua kedudukan walau diserang secara langsung oleh Israel

UNIFIL kekal di semua kedudukan walau diserang secara langsung oleh Israel

ISTANBUL – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menegaskan bahawa mereka tidak akan meninggalkan kedudukannya walaupun ‘secara langsung dan sengaja diserang’ oleh tentera Israel.

“Pasukan pengaman kekal di semua kedudukan dan bendera PBB terus berkibar.

“Kami akan terus melaksanakan mandat kami, walaupun berdepan cabaran yang besar ketika ini,” kata jurucakap UNIFIL Andrea Tenenti dalam kenyataan kepada Anadolu.

Sepanjang minggu lepas, Israel berulang kali menyasarkan kedudukan UNIFIL di selatan Lubnan, mencetuskan kecaman di seluruh dunia dan kebimbangan terhadap rancangan ketenteraannya yang lebih besar.

Serangan terhadap UNIFIL itu berlaku seiring dengan serangan udara Israel di seluruh Lubnan terhadap apa yang didakwanya sebagai sasaran Hizbullah.

Serangan Israel yang semakin sengit ke atas Lubnan telah mengorbankan lebih 1,500 orang, mencederakan lebih 4,500 yang lain, dan memaksa sekurang-kurangnya 1.34 juta orang kehilangan tempat tinggal sejak akhir September.

Secara keseluruhan, jumlah korban dalam serangan Israel sejak Oktober kini melebihi 13,000, menurut angka rasmi Lubnan.

“Sejak 8 Oktober, kedudukan UNIFIL di Ras Naqoura, Labbouneh, dan Ramia telah diserang secara langsung dan sengaja oleh IDF (Pasukan Pertahanan Israel).

“Tembakan kereta kebal Merkava IDF turut mengenai sebuah menara pemerhati di ibu pejabat kami di Naqoura. Lima pasukan pengaman telah cedera di ibu pejabat kami, termasuk dua orang dalam serangan langsung ke atas menara pemerhati kami,” kata Tenenti.

Beliau berkata, seramai 15 lagi pasukan pengaman PBB “turut terjejas akibat sejenis asap yang dilepaskan oleh IDF di Ramia.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa walaupun pegawai UNIFIL itu tidak mengjelaskan lebih lanjut, penggunaan senjata fosforus putih yang diharamkan oleh Israel telah didokumentasikan di Gaza dan Lubnan, termasuk oleh pakar PBB dan pemerhati seperti Amnesty International dan Human Rights Watch.

Tenenti berkata UNIFIL kekal dalam “hubungan berterusan dengan pihak berkuasa di kedua-dua belah kawasan ‘Blue Line’,” merujuk kepada sempadan de facto antara Lubnan dan Israel.

“Ketua misi dan komander pasukan kami telah berkomunikasi secara langsung dengan IDF bahawa serangan ke atas kedudukan dan pasukan pengaman PBB adalah tidak boleh diterima.

“Kami secara rasmi membantah insiden baru-baru ini kepada IDF melalui surat,” katanya.

Mengenai motif serangan, beliau berkata tentera Israel “tidak memberitahu kami mengapa mereka menyerang kedudukan kami, kamera, lampu, dan peralatan komunikasi.”

Tenenti menegaskan bahawa UNIFIL kekal bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

“Kami sentiasa menyesuaikan kedudukan dan aktiviti kami, dan kami mempunyai pelan kontingensi yang sedia diaktifkan jika benar-benar perlu,” katanya.

“Semua pihak diingatkan tentang kewajipan mereka untuk memastikan keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman serta mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh membahayakan mereka. Mereka juga diingatkan bahawa premis PBB mesti dihormati pada setiap masa.”

Pegawai itu turut merujuk kepada gesaan Majlis Keselamatan PBB agar “semua pihak menghormati keselamatan dan perlindungan anggota serta premis UNIFIL … (dan) bahawa pasukan pengaman PBB dan premis PBB tidak boleh dijadikan sasaran serangan.”

Pada Selasa, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres juga mengeluarkan amaran keras bahawa serangan terhadap pasukan pengaman “boleh dianggap sebagai jenayah perang.”

Tenenti berkata, operasi UNIFIL telah terganggu oleh peningkatan cabaran keselamatan.

Beliau menambah bahawa UNIFIL juga memudahkan akses kumpulan kemanusiaan yang menyampaikan bantuan kepada orang awam di beberapa kampung di selatan, termasuk konvoi 22 kenderaan. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Scroll to Top