KDA hargai pertimbangan Sanusi mahu berbincang

KDA hargai pertimbangan Sanusi mahu berbincang

ALOR SETAR: Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) menyambut baik hasrat dan keprihatinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk membincangkan masalah dihadapi pasukan itu.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, mereka percaya dan yakin bahawa Muhammad Sanusi boleh memberikan solusi yang cepat dan efisien dalam mencari titik noktah kepada kesulitan serta permasalahan kewangan yang melanda kelab itu.

Menurutnya, KDA FC sebelum ini telah mengadakan beberapa siri rundingan bersama pihak Pejabat Menteri Besar Kedah dan siri rundingan lanjut berhubung permasalahan kewangan yang sedang dihadapi oleh mereka.

KDA hargai pertimbangan Sanusi mahu berbincang
MOHD DAUD BAKAR

“Merujuk laporan media bertarikh 15 Oktober, saya mewakili seluruh pemegang saham Darulaman Football Club Sdn. Bhd., ahli lembaga pengarah, pengurusan serta staf, pegawai-pegawai pasukan, barisan-barisan kejurulatihan serta pemain mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah di atas keprihatinan serta rasa simpati beliau.

“Selain itu beliau menyatakan kesediaan mempertimbangkan kaedah serta cara meringankan masalah yang telah dan sedang dihadapi oleh KDA FC ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Utusan Malaysia ada menghubungi Mohd. Daud bagi mendapatkan reaksi beliau berhubung kenyataan Muhammad Sanusi itu sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan malam ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, KDA FC memaklumkan pihaknya hari ini telah menghantar surat rasmi berhubung kunjungan hormat kepada Muhammad Sanusi melalui serahan tangan dan emel kepada Pejabat Menteri Besar Kedah.

Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu memberitahu sedia untuk membantu krisis yang dihadapi pemain pasukan bola sepak KDA FC terutama berkaitan tunggakan gaji mereka.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga bersedia untuk bertemu dengan pemain pasukan berkenaan bagi mendengar permasalahan mereka secara berdepan.

“Tak ada lagi pemain datang jumpa saya, hanya cakap melalui media saja. Saya simpati dengan pasukan itu, minta mereka hubungi KFA nanti kita bawa dalam (mesyuarat) KFA untuk bincang apa yang boleh kita tengok (bantu).

“Kerajaan negeri salur kepada KFA, KFA akan tolong. Kita nak berhubung secara terus dengan swasta tak boleh lah, apa-apa yang boleh kita tolong kita tolong,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top