Hilang ketika buang sampah depan rumah, Nurul Aliya selamat pulang ke pangkuan keluarga

Hilang ketika buang sampah depan rumah, Nurul Aliya selamat pulang ke pangkuan keluarga

TEMERLOH: Gadis yang dilaporkan hilang ketika keluar rumah membuang sampah pada 6 Oktober lalu selamat kembali ke pangkuan keluarganya di Taman Temerloh Jaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, Nurul Aliya Zulkifli, 20, pulang ke rumahnya kira-kira pukul 3 pagi.

“Kehilangan Nurul Aliya menimbulkan tanda tanya kerana gadis itu hilang dalam sekelip mata daripada pandangan keluarganya.

“Nurul Aliya dilaporkan melarikan diri ke Kuala Lumpur dan kemudian balik sendiri ke pangkuan keluarganya. Kes orang hilang melibatkan gadis berkenaan kini sudah selesai seperti mana dilaporkan sebelum ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Mazlan berkata, selepas dilaporkan hilang oleh bapanya, polis terus berusaha mencari di samping meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan gadis berkenaan.

Nurul Aliya dilaporkan hilang selepas keluar membuang sampah kira-kira lima meter di depan rumah pada 6 Oktober lalu.

Pada hari kejadian, gadis itu memakai baju putih belang biru, berseluar hitam dan selipar jenama Adidas. – UTUSAN

Scroll to Top