Tiga nelayan dikhuatiri hilang ketika keluar menangkap ikan

Tiga nelayan dikhuatiri hilang ketika keluar menangkap ikan

KEMAMAN: Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang daripada menangkap ikan di perairan Kemaman dekat sini sejak empat hari lalu.

Ketiga-tiga nelayan itu dikatakan keluar dengan bot nelayan tempatan jenis A pada petang Ahad dan gagal dihubungi hingga kini.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, pihaknya mula mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 2.15 petang ini.

“Kesemua nelayan itu gagal dihubungi oleh keluarga mangsa dan difahamkan, biasanya mereka akan pulang setelah dua hari di laut namun sehingga kini, ketiga-tiga nelayan belum pulang.

“OP Carilamat telah diaktifkan sejak pukul 2.50 petang ini dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di pekarangan pejabat Zon Maritim Kemaman,” katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.

Ariffin berkata, sektor rondaan awal ditumpukan sehingga 30 batu nautika dalam radius perairan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut berikutan tiada maklumat spesifik tentang kedudukan terakhir bot berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan kejadian itu. – UTUSAN

Scroll to Top