Kang Khai-Aaron terus turun gelanggang dengan langkah kanan

Kang Khai-Aaron terus turun gelanggang dengan langkah kanan

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun tidak sampai 48 jam menjejak kaki di tanah air, ia langsung tidak melemahkan semangat juara remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai untuk bermula dengan langkah kanan di Kejohanan Super 100 Malaysia di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.

Bagaimanapun, Khai Xing-Aaron memerlukan tiga set untuk menumpaskan wakil Taiwan, Chiang Chien Wei-Wei Chun Wei 18-21, 21-17, 21-19 seterusnya mara ke pusingan kedua, esok.

Menurut Aaron, keadaan fizikal mereka sedikit lemah, namun masih boleh memberi fokus mata demi mata cuba untuk mencatat kemenangan.

“Kunci kemenangan adalah tidak mahu memberi bulu tangkis terlalu tinggi kepada mereka,” kata Aaron yang mengakui sudah melupakan detik manis merangkul kejuaraan dunia di Nanchang, China.

Ujar pemain berusia 17 tahun itu, kejohanan di laman sendiri ini boleh dikira bermula dengan 0-0 dan mereka hanya mahu fokus satu demi satu perlawanan.

Menanti mereka di pusingan kedua esok ialah satu lagi gandingan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Ye Hong Wei yang sebelum itu menjinakkan Narut Saengkham-Apichasit Teerawiwat 21-17, 18-21, 21-16.

Sementara itu, Khai Xing mengakui mereka lebih bersemangat dan cuba untuk mengejar kejuaraan di peringkat senior.

“Kami perlu bekerja keras tiga kali ganda lagi dengan pemain yang sedia ada,” kata pemain kelahiran Kelantan.

Sementara itu pilihan kelima, Justin Hoh tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga selepas menumpaskan wakil India, Abhishek Yeligar 22-20, 21-14.

Bagaimanapun, dia berdepan tugas berat esok apabila perlu bertarung dengan pemain berpengalaman dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito yang mengalahkan Varot Uraiwong dari Thailand, 21-15, 21-16.

Cheam June Wei yang juga pilihan ketujuh turut mara selepas menumpaskan rakan senegara, Ong Zhen Yi 19-21, 21-15, 21-15 dan bakal berdepan perseorangan Taiwan, Huang Yu Kai esok.

Nasib berbeza menimpa Eogene Ewe apabila terkandas kepada pilihan keenam dari Jepun, Riku Hatano 21-7, 15-21, 17-21.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top