Datuk Seri bekas pemilik kelab ditahan akibat ingkar bayar tunggakan gaji

Datuk Seri bekas pemilik kelab ditahan akibat ingkar bayar tunggakan gaji

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Liga Malaysia (Liga Malaysia), hari ini, gempar apabila seorang pemilik kelab bola sepak bergelar Datuk Seri ditahan sekali lagi selepas didapati melanggar perintah mahkamah untuk membayar baki tunggakan gaji berjumlah RM1.4 juta membabitkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab berpangkalan di pantai timur itu pada 2018.

Difahamkan, bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United itu ditahan secara kebetulan selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan dengan dakwaan penipuan projek lebuh raya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini.

Menurut peguam mewakili bekas pemain dan pegawai dua pasukan bola sepak itu, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak, lelaki berusia 50-an itu ditahan mengikut peraturan sedia ada iaitu perintah komital yang sudah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal tahun ini.

Beliau berkata, pada 13 Februari lalu, mahkamah sama membuat keputusan bahawa individu itu harus dipenjarakan selama seminggu atas kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah berkenaan.

“Mahkamah bagaimanapun memberi penangguhan selama dua minggu kepada individu itu bagi memberi peluang terakhir melunaskan tunggakan gaji berkenaan.

“Namun, dia bertindak mendiamkan diri dan hanya membayar RM600,000 setakat pertengahan 2023 dan semua tunggakan masih berbaki RM1.4 juta sehingga kini,” katanya.

Katanya, bekas pemilik kelab itu akan dibawa ke Penjara Kajang dan pihaknya akan memulakan tindakan jenayah di bawah kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kelak.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu terbabit dapat membayar ikat jamin atau tidak.

Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya dua kelab di Liga Super yang cukup kronik dalam isu tunggakan gaji iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City).

Namun, kelab dari utara itu paling mencuri tumpuan apabila sehingga kini masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji sehingga pemain utama memilih untuk memboikot latihan dan perlawanan ketika menentang KL City pada 14 September lalu.

Bagaimanapun, mereka sudah menjalani latihan sebagai persiapan bertemu Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Terdahulu, Arena Metro secara eksklusif melaporkan pemilik bergelar Datuk Seri itu sering mengelak untuk membayar tunggakan gaji kepada bekas pemain sehingga mereka terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan seperti pengawal keselamatan, penghantar makanan, pemandu e-hailing selain menjual semua koleksi bola sepak demi meneruskan kelangsungan hidup.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top