'Bibik' dituduh curi duit majikan, tinggal lebih masa

'Bibik' dituduh curi duit majikan, tinggal lebih masa

am@hmetro.com.my

Melaka: Pembantu rumah warga Indonesia dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai kira-kira RM20,000 milik majikannya dan tinggal melebihi masa di negara ini.

Devi Wulandari, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagi pertuduhan pertama, Devi didapati mencuri harta majikannya iaitu wang tunai kira-kira RM20,000, kad pengenalan serta kad orang kurang upaya (OKU) milik Loh Chin Yee, 42, di sebuah rumah di Taman Sin Hoe, Bukit Baru, di sini, kira-kira 12.15 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas pas khas tamat tempoh iaitu selama 11 bulan dua minggu dan empat hari tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pekarangan Balai Polis Malim, di sini, kira-kira 5.31 petang pada 8 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama, memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top