Warga emas sudah dua bulan terlantar di Tanah Suci

Warga emas sudah dua bulan terlantar di Tanah Suci

JOHOR BAHRU – “Setiap hari saya hanya mampu berdoa bagi suami yang masih koma dan menerima rawatan di Tanah Suci  Madinah Cardiaz Center di Al Jamiah”.

Itu keluh suri rumah, Jannariah Kimun, 62, ekoran suaminya, Md Hussin Parawangai, 68, yang sepatutnya pulang ke negara ini pada 27 Julai lalu selepas mengerjakan umrah bersama tiga adik-beradik perempuannya.

Malangnya, kata Jannariah, empat hari sebelum pulang ke Malaysia, teman hidupnya itu yang juga peneroka Felda Maokil 1, Labis, Segamat rebah dan disahkan menghadapi serangan jantung.

Susulan itu, katanya, anak sulungnya, Noriza, 39, dan anak keduanya, Norain, 38, berlepas ke Madinah bagi menjaga suaminya dengan harapan keadaan Md Hussin bertambah baik dan dapat dibawa pulang.

“Sebenarnya, suami ke Tanah Suci dengan niat untuk melancarkan urusan adik-beradik perempuannya mengerjakan umrah terutama kakaknya yang dalam keadaan uzur, tidak sangka dia pula diuji Allah.

“Selepas mengalami serangan jantung, doktor menyatakan jantung suami terhenti beberapa minit namun selepas diberikan rawatan nyawanya mampu diselamatkan.

“Bagaimanapun doktor menyatakan suami memakan masa untuk sedar dari koma dan menasihati kami untuk membawanya pulang dan memberikan nursing care di sini,” katanya ketika ditemui.

Jannariah berkata, kedua-dua anak perempuannya itu juga pulang selepas sebulan menjaga bapanya.

Buat masa ini, dia hanya mampu melihat keadaan suaminya menerusi panggilan video sementara urusan untuk membawa pulangnya sedang dijalankan.

Menurutnya, antara kekangan dialami termasuk daripada segi kewangan kerana kos bagi membawa pulang suaminya dianggarkan antara RM51,000 hingga RM67,000.

Katanya, ia kerana antara syarat dikenakan iaitu suaminya diiringi seorang pegawai perubatan dan dibekalkan tong oksigen.

Keluarganya bersyukur kos rawatan hospital dibiaya menerusi tuntutan insurans visa umrah.

“Kami pernah meminta bantuan daripada pihak tertentu namun sehingga kini tidak menerima maklum balas,” katanya.

Tambahnya, keluarga mereka berharap dapat membawa pulang Md Hussin secepat yang mungkin.

“Kami mahu menjaganya dan mengikuti perkembangan kesihatan suami tanpa perlu mengharapkan bantuan mutawif di Madinah,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Noriza Md Hussin 151119166896.- MalaysiaGazette

Scroll to Top