nfazlina@nstp.com.my
Bachok: Sebanyak 154 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan RM14.69 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah berkenaan, 111 projek diluluskan menerusi RMK9 hingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), manakala 43 projek lagi di bawah RMK12.
Katanya, projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu meliputi tiga peringkat iaitu fasca siap, dalam pembinaan dan pra pembinaan.
“Saya dimaklumkan untuk tahun ini saja, sebanyak 13 projek fasiliti kesihatan awam berjaya disiapkan termasuklah beberapa bangunan hospital antaranya menaik taraf Hospital Tawau dan membina blok tambahan Hospital Seri Manjung.
“Manakala di Kelantan, 21 projek dalam peringkat perancangan, pembinaan dan sudah siap dilaksanakan dalam tempoh RMK10 hingga RMK12.
“Ia merangkumi 13 projek sudah berjaya diserahkan termasuk Hospital Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah, enam projek dalam pembinaan, dua projek dalam perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini, hari ini, yang turut dihadiri, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.
Mengulas lanjut katanya, setiap projek perlukan pasukan yang komited termasuk kontraktor dan konsultan supaya fasiliti kesihatan berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual dan tidak menjadi projek sakit.
“Pembinaan hospital adalah yang paling mencabar dan pasukan projek adalah penting kerana kita tidak mahu ia dilabel projek sakit yang bukan sahaja membabitkan kerugian sebaliknya kemudahan kepada rakyat turut terjejas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd