Menteri Pertahanan Israel batalkan lawatan ke Washington secara mengejut

Menteri Pertahanan Israel batalkan lawatan ke Washington secara mengejut
Netanyahu dan Gallant dikatakan berada dalam pertikaian berhubung kelulusan kabinet Israel untuk menyerang Iran. (FOTO: Tribune News)
– Advertisement –

ARLINGTON: Lawatan Menteri Pertahanan Israel ke Washington DC yang dijadualkan pada Rabu telah ditangguhkan secara mengejut pada Selasa, tanpa memberikan butiran lanjut mengenainya.

Ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) melalui kenyataan Timbalan Setiausaha Akhbarnya, Sabrina Singh berkata, pihaknya baru dimaklumkan pada Selasa mengenai penangguhan lawatan Yoav Gallant itu.

– Advertisement –

Pembatalan mengejut pada Selasa itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Israel dan Iran, ketika Zionis Israel mempertimbangkan pilihan untuk bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran minggu lalu, serangan kedua tahun ini terhadap Israel, lapor Al Arabiya.

Sementara itu, media dan wartawan Israel melaporkan bahawa lawatan itu dibatalkan kerana pertikaian antara Gallant dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang mahukan sokongan daripada Gallant terhadap keputusan kabinet Israel untuk meluluskan tindak balas terhadap serangan Iran.

Netanyahu juga dilaporkan tidak membenarkan Gallant untuk mewakili kerajaannya sehingga dia sendiri boleh bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. 

Biden dalam pada itu dikatakan kecewa dengan Netanyahu kerana meninggalkan dirinya dan pegawai AS yang lain dalam ‘kegelapan’ tentang rancangan ketenteraannya di Gaza dan, baru-baru ini di Lubnan.

Akhbar Ynet Israel sebelum ini melaporkan bahawa Gallant berharap lawatannya ke AS akan mengukuhkan penyelarasan ke atas Iran. 

Namun beberapa jam sebelum berlepas, Netanyahu menetapkan dua prasyarat, iaitu panggilan telefon dengan Biden dan kelulusan kabinet terhadap respons serangan Iran.

Pihak Rumah Putih bagaimanapun tidak memberikan sebarang jawapan sama ada pihaknya ada menetapkan jadual untuk mengadakan panggilan telefon antara Biden dan Netanyahu ataupun sebaliknya. -Agensi/ – HARAKAHDAILY 9/10/2024

– Advertisement –

Scroll to Top