Tak sia-sia setia pada Gibson

Tak sia-sia setia pada Gibson

mohamadridzuan@hmetro.com.my

KETIKA namanya hangat diperkatakan kerana menolak tawaran untuk kumpulan Barbarik menyertai Rock Warrior Music Festival (RWMF) anjuran Rumah Produksi Merah (RPM) milik Datuk Awie, JoBranko tampil dengan berita gembira apabila dilantik oleh Music Bliss sebagai duta rasmi untuk jenama gitar terkenal dunia, Gibson.

Malah ketika artikel ini ditulis, JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, sudah berada di Nashville Tennesse, Amerika Syarikat untuk sesi lawatan ke Gibson Garage dari 6 hingga 15 Oktober ini.

“Saya bersyukur kerana mencatat sejarah menjadi satu-satunya pemain gitar dari Asia dilantik sebagai duta Gibson. Tak sia-sia saya setia dengan jenama ini sejak 30 tahun lalu.

“Kita tahu jenama ini sangat teliti dan tak nampak kita dari Malaysia terpilih. Tapi, saya teruskan pakai gitar ini kerana pesona yang ada padanya. Ikutkan dah lama pengikut saya iktiraf saya dengan jenama ini, tapi belum rezeki.

“Mungkin baru sekarang ia dimakbulkan. Apa pun ia adalah satu langkah baharu yang paling tinggi sepanjang karier saya sebagai pemuzik,” katanya.

Tanpa berselindung gitaris yang juga penerbit hebat ini berkata, dia sudah menyimpan impian memiliki gitar jenama ini sejak berusia 13 tahun.

“Ketika itu gitar ini tak dijual di Kuala Lumpur kerana terlalu mahal serta terhad untuk pemain gitar kidal. Apabila ada peluang, saya terus beli di Sydney, Australia. Sekarang saya ada empat koleksi gitar jenama ini.

“Saya kini berpeluang memberikan idea mengenai pemilihan gitar yang bakal dikeluarkan. Sebanyak lapan siri gitar seleksi JoBranko termasuk satu yang dibuat khas mengikut spesifikasi kidal akan dikeluarkan selepas ini.

“Di Gibson Garage akan ada satu hari dinamakan Blackbox. Jika bernasib baik saya mungkin boleh jumpa Slash Guns N’Roses atau pemuzik lain. Memang ia kejutan. Kalau tiada artis terkenal, artis tempatan pun okeylah untuk saya jumpa,” katanya.

Bercerita mengenai Barbarik yang dianggotainya bersama Mus (vokal), Rozaimie (bass) dan Ainol (dram), JoBranko berkata, perjalanannya kini sukses.

“Album sedang disiapkan dan saya sedang aturkan proses mastering di

Brisbane, Australia. Dijangka album ini dikeluarkan pada 7 November depan.

“Saya akan buat pradengar serta ‘showcase’ di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 1 Disember depan. Album ini memuatkan enam lagu dan satu instrumental.

“Mulanya saya rancang buat single lima lagu, tapi ia macam tak mencabar.

Saya dan Mus pun ada pengikut yang tegar, jadi kena buat yang terbaik,” katanya.

Menurutnya konsep muzik yang dibawakan pula ialah apa yang pemuziknya keluarkan.

“Yang saya perlu ialah kawal permainan saya kerana saya gitar utama dan merangkap penerbit. Ia sebenarnya susah kerana saya tak nak nampak ia melampau atau kurang sangat.

“Buat album ialah makanan jiwa saya dalam berkarya. Muzik Barbarik mengikuti muzik masa kini iaitu rock keras. Ada juga lagu yang saya akan gunakan instrumen untuk buat orang tertarik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top