am@hmetro.com.my
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mahu melahirkan generasi yang membudayakan kecemerlangan tanpa meminggirkan nilai kerohanian dan jiwa sekali gus menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Gs Ts Dr Moh Ekhwan Toriman berkata, penuntut UKM akan melalui suatu proses pendidikan holistik yang meliputi pembentukan ‘otak dan watak’ iaitu pembangunan bakat masa hadapan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berbudaya watan.
“Pembentukan otak dan watak itu maksudnya pelajar mempunyai tahap pemikiran yang baik dan pada masa sama memiliki keperibadian cemerlang. Barulah akan lahir bakat berkualiti.
“Di UKM, saya percaya bahawa manfaat yang lebih besar akan diperoleh jika kita sentiasa memekarkan hati budi dengan nilai-nilai murni.
“Kejayaan akademik semata-mata tidak menjanjikan kehidupan yang bermakna,” katanya semasa menyampaikan amanat kepada pelajar baharu pada Majlis Amanat Naib Canselor sempena Minggu Apresiasi Watan Sesi 2024/2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata, universiti itu turut menyediakan bantuan seperti agihan zakat, Program Siswa Sulung, sumbangan Tabung Kebajikan Pelajar & Dana Luar serta bantuan Sara Hidup Siswa.
“Bantuan RM1,000 melalui Sistem e-Prihatin pula adalah bantuan makanan kepada pelajar bagi keluarga berpendapatan B40 berjumlah RM1,000 seorang sepanjang semester.
“Inisiatif ini disediakan bertujuan membantu pelajar yang kurang berkemampuan terutamanya dari segi fizikal seperti orang kelainan upaya (OKU) dan golongan B40,” katanya.
Menurutnya, UKM menerima seramai 6,718 pelajar baharu dari dalam dan luar negara daripada 86,364 calon yang memohon menerusi laman web Unit Pusat Universiti (UPU).
“UKM juga menerima hampir dua ribu pelajar antarabangsa yang terpilih melanjutkan pelajaran di sini.
“Oleh itu, timbalah pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan universiti sepanjang anda bergelar mahasiswa UKM. Jangan sia-siakan pengorbanan ibu dan ayah yang bersusah payah menghantar anda belajar di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd