Dijadikan perempuan simpanan langsai hutang ayah, hanya rekaan

Dijadikan perempuan simpanan langsai hutang ayah, hanya rekaan

am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis Pulau Pinang mengesan wanita yang mendakwa dirinya terpaksa menjadi perempuan simpanan di negeri ini bagi melangsaikan hutang bapanya dengan sindiket pinjaman wang atau along.

Namun dakwaan berkenaan didapati tidak benar dan tidak pernah berlaku, malah wanita itu mengakui ia direka sekadar bagi meluahkan perasaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, semakan mendapati hos yang mengendalikan wawancara itu turut membuat satu laporan polis berkaitan panggilan terbabit.

Katanya, mangsa kemudian dikesan pada jam 10.50 malam tadi dan ditemukan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara.

“Siasatan mendapati wanita itu menghubungi wawancara di TikTok berkenaan pada 26 Julai lalu.

“Dia turut mengakui membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjaman wang dan menerima ugutan kerana gagal membayar hutang.

“Ibu mangsa yang berada di kampung juga turut menerima ugutan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebar sesuatu di media sosial tanpa buat semakan kesahihannya.

“Orang ramai yang diganggu atau menerima ugutan daripada along juga dinasihati supaya membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video rakaman siaran langsung di aplikasi TikTok berdurasi selama enam minit 45 saat, yang memaparkan perbualan hos dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bersama seorang pemanggil wanita.

Mangsa dikenali sebagai Isha, 26, mendakwa bapanya yang sudah bercerai dengan ibu, terdahulu berhutang sebanyak RM20,000 dengan along dan gagal melunaskannya.

Wanita itu kemudian mendakwa dipaksa bekerja dengan along terbabit sejak Februari lalu di sebuah ‘rumah merah’ di Pulau Pinang sebagai perempuan simpanan tanpa diberi gaji serta mohon diselamatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top